Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Buku Permakultur Tropika Lebih 1000 Mukasurat Boleh Dapatkan PERCUMA

Buku Permakultur Tropika Lebih 1000 Mukasurat Boleh Dapatkan PERCUMA

Permakultur adalah satu perkataan yang biasa saya dengar sejak terlibat dalam bidang pertanian tetapi cuma baru-baru ini saya mula mempelajari subjek ini. Mengikut kefahaman saya sekarang, permakultur adalah satu sistem yang membolehkan manusia hidup dengan memanfaatkan sebaiknya apa yang wujud di alam semula jadi pada masa yang sama juga tidak merosakkannya malah memperbaikinya lagi.

Ia merangkumi pelbagai bidang selain pertanian seperti ekologi, lanskap, dan perhutanan. Selain daripada itu, sistem ini juga memberikan garis panduan untuk seni bina, pengurusan tenaga, dan pembinaan masyarakat. Dengan menggunakan prinsip-prinsip permakultur, sesuatu komuniti di sesebuah kawasan boleh hidup harmoni dengan alam semula jadi, menghasilkan semua keperluan makanan, dan minimakan kebergantungan dari luar.

Konsep yang diperkenalkan pada 1970an ini telah luas tersebar di seluruh dunia dan dipraktikkan dalam pelbagai bentuk. Di Timor-Leste, organisasi bernama Permatil memperkenalkan permakultur di negara mereka antaranya bagi mengurangkan kebergantungan kepada import input pertanian dan melahirkan komuniti-komuniti yang kuat dan berdikari. Dalam usaha ini mereka telah menghasilkan buku panduan permakultur yang sesuai juga untuk negara-negara tropika lain seperti Malaysia.

Buku yang bertajuk ‘The Tropical Permaculture Guidebook’ ini mempunyai lebih daripada 1000 muka surat dan anda boleh mendapatkannya melalui link di bawah. Buku di dalam bentuk eBook ini ditawarkan dengan harga mengikut kemampuan diri bermakna anda juga boleh mendapatkannya secara percuma. Digalakkan untuk membeli buku ini pada harga yang mereka cadangkan atau ikut kemampuan anda bagi menyokong usaha-usaha mereka.
https://permatilglobal.org/complete-guidebook/

Sepintas lalu membaca buku ini, bahasa yang digunakan mudah untuk difahami dan terdapat banyak ilustrasi yang memberi gambaran yang jelas cara perlaksanaan perkara-perkara yang diterangkan. Namun, tidak semua orang boleh memahami sepenuhnya Bahasa Inggeris tetapi Permatil berusaha untuk menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa-bahasa lain. Saya rasa banyak manfaatnya kepada kita jika kandungan buku ini juga terdapat di dalam Bahasa Melayu, maka saya berniat untuk menyumbang usaha terjemahan ke dalam Bahasa Melayu dan jika anda juga berminat untuk menyumbang sila ke halaman di bawah.
https://permatilglobal.org/languages/

Selain daripada buku di atas terdapat pelbagai sumber lain untuk mempelajari permakultur. Satu sumber yang banyak membantu saya untuk memahami sistem ini adalah channel Youtube di bawah oleh Geoff Lawton iaitu seorang pengamal dan pendidik yang terkenal dalam arena permakultur. Kebanyakan video di dalam channel tersebut menjawab soalan-soalan daripada peserta kursus permakultur yang beliau kendalikan yang memberikan kefahaman kepada aspek-aspek permakultur. Selain daripada itu, terdapat juga video-video yang memperkenalkan permakultur dan komponen-komponen di dalam sistem ini.
https://www.youtube.com/c/GeoffLawtonOnline

Malaysia bukan sahaja mengimport sebahagian besar daripada keperluan makanan kita dari luar malah sistem pertanian negara ini amat bergantung kepada import input pertanian seperti baja, racun perosak, dan makanan ternakan. Oleh sebab itu, sekuriti makanan negara ini amat mudah terancam dengan situasi global. Satu contoh, kenaikan tinggi harga sayuran dan ayam tahun lepas adalah disebabkan oleh harga global input pertanian yang melonjak naik. Sistem permakultur dengan pendekatannya yang holistik saya percaya boleh banyak membantu untuk meningkatkan sekuriti makanan negara serta menghasilkan makanan yang lebih sihat dan menjaga alam semula jadi.

Share this post

LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE