Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Minggu-3 Ke Minggu-10 Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani

Minggu-3 Ke Minggu-10 Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani

Saya sudah lama tidak memberikan perkembangan kebun di blog ini dan penulisan ini pun baru bermula selepas minggu-9. Sejak hampir 2 bulan yang lepas saya tidak kerap berada di kebun seperti dua minggu sebelumnya. Salah satu sebab saya tidak boleh datang lebih kerap ke kebun adalah pada minggu ketiga semua orang yang berkerja di Kebuna kecuali saya perlu melalui kuarantin disebabkan Covid dan saya hanya boleh datang pada 3 hari pertama sahaja. Selain daripada itu, lebih kurang 2 bulan yang lepas saya banyak memikirkan dan mencari alternatif-alternatif kepada sistem pertanian konvensional di Malaysia. Tambah lagi dengan urusan operasi Kebuna, kurang fokus boleh saya berikan kepada jurnal ini.

Saya rasa relevan untuk membincangkan di sini berkaitan alternatif kepada sistem pertanian konvensional yang termasuk sekali penanaman menggunakan sistem fertigasi. Saya banyak memikirkan perkara ini disebabkan seorang wakil pembekal biji benih komersial memberitahu saya sewaktu beliau melawat Kebuna bulan Mac yang lepas bahawa negara Malaysia hampir sepenuhnya bergantung kepada import untuk baja dan racun perosak tanaman. Ini bermakna sekuriti makanan negara ini amat bergantung kepada keadaan global. Kenaikan yang tinggi harga global input pertanian tahun lepas menyebabkan harga tempatan juga meningkat tinggi dan memberikan impak yang besar kepada operasi pertanian di Malaysia serta harga makanan. Menurut seorang lagi pembekal barangan pertanian, ramai penanam yang bergelut dengan keadaan sekarang dan ada juga yang terpaksa menghentikan operasi.

Banyak yang boleh ditulis berkaitan perkara ini tetapi satu perkara yang boleh disebut yang relevan dengan penanaman secara fertigasi adalah kos operasi telah melonjak naik dan terdapat persoalan berkaitan kemampanan jangka masa panjang penanaman menggunakan kaedah ini disebabkan isu yang disebutkan di atas. Tambahan lagi, sumber import penting input pertanian dan petroleum untuk seluruh dunia terganggu disebabkan konflik antara Rusia dan Ukraine. Perkembangan terbaru ini telah menyebabkan kekurangan makanan global dan telah terdapat tunjuk perasaan di beberapa negara disebabkan harga makanan yang meningkat tinggi mencerminkan krisis makanan global 2008. Artikel berasingan lebih sesuai untuk membincangkan sekuriti makanan negara ini kerana ia adalah satu isu yang besar. Salah satu artikel yang ada membincangkan berkaitan sekuriti makanan negara ini anda boleh lihat di bawah.

Bagi saya, sistem penanaman fertigasi bukannya jawapan jangka masa panjang untuk meningkatkan sekuriti makanan negara ini kerana kebergantungan kepada input-input pertanian yang tidak wujud secara tempatan. Saya memulakan jurnal ini dengan harapan untuk menggalakkan lebih ramai orang terlibat di dalam bidang pertanian tetapi saya merasakan sekarang perlu banyak penglibatan kepada sistem pertanian yang tidak bergantung kepada import. Satu sistem yang menarik perhatian saya sekarang adalah sistem pertanian regeneratif yang ada disebut dalam aritkel di bawah. Fokus saya sekarang adalah untuk mempelajari sistem-sistem pertanian alternatif seperti ini dan cuba untuk mempraktikkannya serta kongsikan pengalaman di sini. Walaupun begitu, saya akan berusaha untuk meneruskan jurnal ini .

Disebabkan jurnal ini perlu merangkumi 8 minggu, saya akan buat penulisan di bawah dalam bentuk yang ringkas. Sebarang penerangan lanjut saya akan cuba untuk sertakan dalam penulisan di masa hadapan.

Minggu-3 (14/03/2022 – 20/03/2022)

Tali digunakan untuk menyusun polibeg. Di sekeliling perimeter kebun terdapat ruang jalan seluas 3 kaki. Tali digunakan untuk membahagikan selang-seli ruang jalan 3 kaki dan ruang polibeg 4 kaki. Dalam ruang polibeg, terdapat dua baris polibeg diletakkan rapat dengan tali di kedua-dua belah. Jarak antara polibeg dalam setiap baris adalah 2 kaki dan terdapat anjakan (offset) 1 kaki antara satu baris dengan yang disebelahnya. Sila lihat video di atas untuk nampak lebih jelas apa yang saya terangkan di sini.

Saya mencabut beberapa baris weedmat yang telah dipasang sebab rasa pemasangan dibuat terlalu tegang. Saya ambil kesempatan ini untuk mengisi kawasan berlopak dan memotong rumput bagi mudah untuk membentangkan balik weedmat. Banyak masa yang diambil untuk memasang balik weedmat kerana ia mudah ditiup angin. Jauh lebih cepat untuk memasang weedmat baru kerana weedmat boleh dipaku sambil membuka gulungan dan membentangkannya.

Terdapat dua reka bentuk paku weedmat yang digunakan, satu mempunyai mata yang tirus dan satu lagi mempunyai mata yang lebih tebal dan kurang tirus. Paku yang tirus mudah bengkok dan paku yang lagi satu lebih mudah untuk dipakukan.

Minggu-4 (21/03/2022 – 27/03/2022)

500 polibeg siap disusun dan perpaipan disiapkan dahulu untuk tanaman. Tapak pump house diratakan dan disusun batu-bata. Di keliling bahagian belakang pump house ditutup dengan metal deck.

Minggu-5 (28/03/2022 – 03/04/2022)

Tuan tanah membuat permohonan untuk mendapatkan bekalan air bermeter. Menurut pihak yang bertanggungjawab menguruskan perkara tersebut, perlu terdapat tangki air 100-150 gelen yang diletakkan di atas platform tinggi 5 kaki sebelum boleh buat permohonan. Walaupun tanah perumahan tetapi tarif adalah bergantung kepada tujuan jadi kebun akan mendapat tarif pertanian. Tempoh antara permohonan dan pemasangan boleh mengambil lebih sebulan. Buat masa ini, kebun akan menggunakan air hujan yang ditadah bumbung pump house.

Bilangan polibeg ditambah daripada 512 kepada 604. Di dalam video di atas saya tersilap berikan bilangan polibeg. Kawasan yang ditambahkan polibeg cuma dibentangkan silvershine tanpa weedmat.

Kerja-kerja untuk pemasangan struktur sokongan pokok bermula. Tiang-tiang besi ditanam di setiap baris polibeg dengan jarak 4-5 polibeg antara setiap tiang. Tinggi tiang dari paras tanah adalah lebih kurang 6 kaki dan dawai besi diikat di bahagian atas antara setiap tiang dalam baris yang sama. Dawai besi tersebut perlu tegang dan ini menyebabkan daya tarikan yang kuat kepada tiang pertama dan terakhir di dalam baris.

Minggu-6 (04/04/2022 – 10/04/2022)

Sambung kerja memasang tiang. Pada masa yang sama juga terdapat kerja-kerja membongkar di kebun lama untuk mendapatkan batang besi.

Batang-batang besi lama yang telah dicat.

Minggu-7 (11/04/2022 – 17/04/2022)

Encik Fahmie ada datang membawa lori menghantar barangan untuk kebun. Dalam proses membawa lori hampir dengan kebun, lori tersangkut di atas tanah lembut. Mujurlah kenderaan saya iaitu Hilux 4×4 berupaya untuk menarik lori tersebut. Kenderaan saya mempunyai cangkuk di bahagian bawah kereta yang sesuai untuk tujuan ini dan gear 4L untuk memberikan lebih kuasa tarikan.

Encik Fahmie juga ada menerangkan tugasan yang perlu dibuat. Salah satunya adalah perlu memastikan SOP penanaman diikuti sebaik boleh serta sebarang aktiviti berkaitan dengan penjagaan tanaman direkod. Operasi dan perkembangan di kebun perlu dipantau serta kebersihan dan keselamatan di kebun juga perlu dijaga dengan baik. Perkara yang berkaitan aspek komersial pula adalah merekod sebarang perbelanjaan dan jualan apabila sudah mendapatkan hasil.

Kerja lain yang dibuat dalam minggu ini adalah menggaulkan dolomite, rock phosphate, dan baja organik di dalam polibeg lapan hari sebelum tanaman dialih masuk. Tanaman Golden Melon disemai 5 hari sebelum dialihkan ke dalam polibeg.

Minggu-8 (18/04/2022 – 24/04/2022)

Pemasangan sistem fertigasi disiapkan dan tanaman dialihkan ke dalam polibeg pada tengah minggu ini. Semua perkara yang diperlukan untuk operasi kebun kecuali struktur sokongan pokok telah siap. Terdapat kesukaran menanam tiang untuk struktur sokongan pokok kerana tanah lembut dan menakung air.

Mencuba menanam tiang secara senget dan mengikat tiang dengan dawai ke tanah.

Minggu-9 (25/04/2022 – 01/05/2022)

Encik Fahmie berada di Sabah sejak minggu lepas tetapi mengikuti setiap hari perkembangan tanaman di kebun melalui WhatsApp dan memberitahu sebarang perubahan yang perlu dibuat berkaitan penjagaan tanaman, contohnya memberi lebih baja kerana pertumbuhan yang lambat. Bagi memastikan EC meter yang digunakan memberikan bacaan yang tepat, kalibrasi dibuat dan bacaan EC meter tersebut juga dibandingkan dengan satu lagi EC meter yang telah dipastikan memberikan bacaan yang tepat.

Minggu-10 (02/05/2022 – 08/05/2022)

Hari pertama minggu ini ialah Hari Raya Aidilfitri dan tiada kerja dibuat untuk beberapa hari tetapi Joe kerap datang untuk memastikan keadaan di kebun. Saya datang pada hari kedua minggu ini hanya untuk melihat keadaan kebun dan menyambung membuat penulisan untuk jurnal ini.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE