Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Cara Memasang Sistem Pengairan Automatik Untuk Tanaman

Cara Memasang Sistem Pengairan Automatik Untuk Tanaman

Air merupakan keperluan asas bagi setiap kehidupan dan sehingga 90% daripada berat tumbuh-tumbuhan adalah air. Oleh itu, air yang mencukupi adalah amat penting bagi tanaman. Kekurangan air boleh cepat memberi kesan yang negatif terhadap tanaman dan tanaman boleh mati hanya selepas beberapa hari tanpa air.

Panduan ini akan menunjukkan kepada anda cara memasang sistem pengairan automatik untuk tanaman anda di rumah. Terdapat juga pelbagai alternatif yang lain yang boleh memudahkan pengairan tanaman, pencarian di dalam Google boleh memberikan anda pelbagai idea berkaitan dengan perkara ini. Contoh keyword yang anda boleh gunakan adalah ‘water plant while away’, ‘self watering plant’, ‘siram pokok masa cuti’, dan lain-lain.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila tinggalkan di ruang komen di bawah. Kebanyakan barangan yang diperlukan di dalam panduan ini terdapat di kedai kami dan anda boleh membeli secara online di https://www.kebuna.com/kedai/kategori-produk/irigasi-fertigasi. Anda juga boleh dapatkan set pengairan automatik untuk 20 tanaman di https://www.kebuna.com/kedai/produk/set-pengairan-automatik-tanaman.

Pelan

Sebelum memasang sistem pengairan automatik di rumah, digalakkan untuk menyediakan pelan supaya anda dapat gambaran jelas serta tahu barangan yang diperlukan. Termasuk di dalam pelan adalah panjang polypipe yang diperlukan, bilangan tanaman, susunan tanaman, dan lain-lain. Lakaran pelan juga akan banyak membantu apabila anda hendak membeli barangan yang diperlukan. Bahagian di bawah akan menerangkan barangan tersebut dan cara pemasangannya.

Kedudukan Tanaman

Kedudukan tanaman anda mungkin perlu diubah untuk mendapatkan pemasangan yang kemas. Sebaik-baiknya tanaman diletakkan di dalam barisan yang lurus dan tersusun seperti di dalam gambar di atas.

Watering Timer

UPDATE: Watering timer yang digunakan di dalam panduan ini kurang berkualiti dan tidak tahan lama. Mekanisma kawalan injap menggunakan motor dan gear yang mudah rosak serta injap mudah bocor di bahagian dalam yang menyebabkan bahagian elektronik terdedah kepada air. Digalakkan untuk menggunakan watering timer yang menggunakan injap solenoid disebabkan tahan lebih lama.

Alat ini digunakan untuk menentukan waktu siraman kepada tanaman. Ianya perlu disambung kepada sumber air bertekanan seperti paip air di rumah. Di dalam alat ini terdapat on/off valve yang mengawal aliran air dan ianya dikawal oleh timer. Terdapat pelbagai produk Watering Timer yang terdapat di pasaran tetapi digalakkan mendapatkan produk yang kalis air seperti di dalam gambar di atas.

Valve seperti di dalam gambar di atas diperlukan untuk mengawal tekanan air serta menutup pengaliran air jika perlu. Cara pemasangan yang akan ditunjukkan di dalam panduan ini tidak memerlukan tekanan air yang tinggi maka valve hanya perlu dibuka cukup untuk memastikan setiap tanaman mendapat air. Valve perlu disambung antara sumber air dan Watering Timer. Valve dan barangan sambungan paip yang lain boleh didapati di kedai hardware.

Polypipe 16mm

Di outlet Watering Timer diperlukan pula satu adapter polypipe untuk menyambung kepada polypipe 16mm yang akan membawa air kepada tanaman. Polypipe boleh dipotong dengan hanya menggunakan gunting tetapi jika sukar gunakan pipe cutter yang khas untuk memotong paip. Disebabkan polypipe ini agak sukar untuk diluruskan, gunakan batu bata sebagai pemberat untuk meluruskan paip.

Salah satu kelebihan menggunakan polypipe adalah ianya fleksibel dan mudah untuk disambung mengikut keperluan. Terdapat beberapa fitting (Joiner, Elbow, Tee) untuk membuat sambungan yang diperlukan. Menyambung fitting kepada polypipe adalah agak sukar tetapi lebih mudah jika polypipe tersebut dilembutkan dengan menjemurnya di bawah matahari terlebih dahulu.

Dripper

Polypipe 4mm pula digunakan untuk membawa air dari polypipe kepada tanaman. Cara menyambungnya adalah dengan membuat lubang kepada polypipe dengan menggunakan puncher dan menggunakan connector untuk menyambung kedua-dua jenis polypipe (16mm ke 4mm). Air mungkin menitik keluar di sambungan ini, anda boleh gunakan silikon untuk kurangkan masalah ini. Lubang yang dibuat boleh ditutup juga dengan menggunakan goof plug.

Di hujung polypipe 4mm yang lagi satu pula disambung dripper. Dripper ini akan mengurangkan kederasan air untuk memastikan tekanan air cukup tinggi dan semua tanaman mendapat air. Dripper ini perlu dicucuk berhampiran dengan tanaman tetapi tidak terlalu rapat dengan pangkal. Disebabkan dripper hanya membasahkan kawasan yang kecil, akar tanaman akan bergerak ke arah dripper tersebut. Ubah kedudukan dripper sekurang-kurangnya sekali setiap bulan untuk memastikan akar tanaman tumbuh dengan lebih baik.
Kederasan air boleh dikawal dengan melaraskan kedalaman dripper yang dicucuk ke dalam polypipe 4mm seperti di dalam gambar di atas. Jadi untuk tanaman yang memerlukan air yang sedikit, dripper dicucuk habis ke dalam polypipe 4mm. Untuk tanaman yang memerlukan air yang lebih, hanya sebahagian dripper sahaja dicucuk ke dalam polypipe 4mm.

Tekanan Air

Adalah penting untuk memastikan tekanan air yang sesuai iaitu adalah apabila air keluar secara menitik daripada dripper dan semua tanaman mendapat air. Apabila tekanan terlalu tinggi, air akan memancut keluar dari dripper. Laraskan valve untuk memastikana tekanan air yang sesuai.

Uji Pemasangan

Setelah pemasangan untuk semua tanaman sudah siap anda boleh membuat ujian memastikan tiada paip yang bocor dan setiap dripper menitiskan air. Watering Timer akan mempunyai mod manual di mana anda boleh mengalirkan air secara manual untuk tujuan ini.

Menetapkan Watering Timer

Cara untuk menetapkan Watering Timer adalah bergantung kepada produk yang digunakan jadi sila rujuk kepada manual. Dua perkara utama yang perlu ditetapkan adalah bila dan berapa lama siraman perlu dilakukan.

Penyelenggaraan

Sistem pengairan automatik seperti ini memerlukan penyelenggaraan yang sedikit tetapi penting untuk memastikan dripper sentiasa menitiskan air dan tidak tercabut dari paip. Keladak boleh terkumpul pada dripper dan menghalang aliran air. Berus gigi boleh digunakan untuk membersihkan keladak tersebut. Selain daripada itu, disebabkan sistem ini menggunakan bateri anda perlu peka apabila sistem ini tidak lagi berjalan di mana kemungkinan bateri sudah kehabisan cas dan tukar kepada bateri yang baru.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE