Betul Ke Nilai Isipadu Yang Tertera Pada Bungkusan Itu?
Baru-baru ini saya ada pergi ke sebuah nurseri untuk mencari produk kompos, dan saya ada ternampak produk tanah campuran tanaman yang terjual di situ. Pada bungkusan produk tersebut tertera nilai isipadu 20 liter tetapi kandungannya nampak macam kurang daripada nilai tersebut. Jadi saya ada mendapatkan juga satu produk tanah campuran tersebut dengan tujuan untuk mendapatkan sendiri bacaan isipadunya.
Saya mendapati bacaan isipadunya adalah lebih kurang 15 liter, jauh berbeza daripada nilai yang tertera iaitu 20 liter. Saya ada dapatkan dua lagi produk yang sama dari nurseri yang lain pula, ukur isipadu kedua-duanya, dan mendapat nilai yang sama juga. Di nurseri ini terdapat lagi satu produk tanah campuran tanaman dan saya ada mendapatkan dua juga produk ini, ukur isipadu kedua-duanya, dan mendapati bacaannya lebih kurang 22 liter tetapi nilai yang tertera pada bungkusannya adalah 28 liter. Semasa membuat pengukuran, saya tidak menekan tanah tersebut dan cuba elak daripada menyebabkan tanah mendap ke bawah di dalam bekas ukuran dengan tujuan untuk mendapatkan bacaan tertinggi.
Ada kemungkinan kesilapan dalam pembungkusan produk-produk tersebut yang menyebabkan perbezaan ini tetapi beg bungkusan produk-produk ini nampaknya terlalu kecil untuk mengisi tanah pada nilai isipadu yang tertera. Jika ianya disebabkan oleh kesilapan, hanya sekilas pandangan diperlukan untuk ternampak kesilapan ini kerana saiz bungkusan adalah jelas lebih besar apabila diisi pada isipadu yang tertera.
Beberapa bulan sebelum ini, saya ada mendapat sampel produk tanah campuran tanaman yang lain daripada dua produk yang disebut di atas, dan bacaan isipadunya juga jauh lebih rendah daripada nilai yang tertera pada bungkusan. Pada waktu itu saya tidak ada terfikir kemungkinan produk tanah campuran tanaman yang lain juga tidak memberikan maklumat yang betul tetapi tidak lagi selepas ini.
Isu pengeluar atau pembekal produk tidak memberikan maklumat yang betul berkaitan produk yang mereka tawarkan adalah tidak asing dalam dunia perniagaan. Disebabkan pengalaman saya sendiri dalam dunia perniagaan ini, sukar untuk saya percaya bulat-bulat apa yang dinyatakan oleh pengeluar atau pembekal produk. Saya pernah menghasilkan kaedah untuk menguji satu jenis produk iaitu EC meter bagi memastikan bacaannya tepat, dan saya dapati 6 daripada 10 produk EC meter di pasaran tidak sesuai digunakan. Anda boleh baca artikel berkaitan di bawah.
Artikel di atas bertujuan supaya pengguna lebih berhati-hati apabila membeli produk EC meter kerana saya dapati ramai orang menggunakan EC meter yang tidak boleh memberikan bacaan yang tepat, malah bacaan lari jauh daripada nilai sebenar. Pada masa yang sama, saya berharap artikel di atas juga dapat menggalakkan penjual untuk memastikan produk EC meter yang mereka tawarkan sesuai untuk digunakan.
Dalam penulisan ini, saya juga mempunyai niat yang hampir sama iaitu untuk memastikan pengguna tahu terdapat produk tanah campuran tanaman di pasaran yang tidak memberikan maklumat yang betul berkaitan produk tersebut. Sehingga kini saya hanya telah menguji tiga produk tanah campuran tanaman yang berbeza tetapi ketiga-tiganya seperti ditunjukkan di atas menyatakan produk mereka mempunyai isipadu kandungan yang jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar.
Jika anda sendiri hendak mendapatkan bacaan isipadu tanah campuran tanaman atau sebarang produk yang anda gunakan, caranya adalah amat mudah. Gunakan alat-alat pengukur isipadu seperti cawan pengukur (isipadu rendah) atau baldi (isipadu tinggi) yang tertera nilai isipadunya untuk mengambil bacaan isipadu produk tersebut. Jika anda tidak tahu atau tidak pasti isipadu bekas yang digunakan, terdapat dua cara mudah untuk menentukannya.
- Dengan penimbang berat: Isipadu boleh ditentukan dengan menimbang berat air kerana berat 1 liter air adalah hampir tepat 1 kilogram. Maka, dengan menimbang berat air apabila bekas cawan, gayung, atau baldi penuh dengan air anda boleh dapatkan isipadu penuhnya. Sebagai contoh, jika berat air dalam bekas yang diisi penuh adalah 5 kilogram bermakna isipadu penuhnya adalah 5 liter.
- Tanpa penimbang berat: Botol-botol minuman di pasaran mempunyai nilai-nilai isipadu yang tertentu dan boleh digunakan untuk menentukan isipadu bekas cawan, gayung, atau baldi. Sebagai contoh, untuk baldi besar, gunakan botol minuman 9.5 liter yang diisi penuh air dan isi baldi dengan semua air dari botol tersebut kemudian tandakan paras air dalam baldi.
Dengan peralatan yang anda ada, anda mungkin tidak boleh mendapatkan betul-betul tepat bacaan isipadu tanah campuran tanaman atau sebarang produk yang anda ukur tetapi jika terdapat perbezaan yang besar antara isipadu tertera dan isipadu sebenar, ianya akan jelas ternampak.
Sebagai pengguna, anda mempunyai hak untuk memastikan produk yang anda beli adalah sama seperti yang dinyatakan. Sila maklumkan kepada penjual, pembekal, atau pengeluar jika maklumat produk yang tertera adalah tidak betul supaya mereka boleh membetulkannya. Anda juga boleh menghantarkan aduan ke KPDNHEP melalui https://www.kpdnhep.gov.my/ms/kepenggunaan/hak-pengguna/aduan-pengguna.