Apakah Baja Larut Air dan Baja AB?
Bagi mendapatkan pertumbuhan yang baik, tanaman mestilah mendapat nutrien yang mencukupi. Tanaman mendapat nutrien daripada tanah atau media tanaman yang digunakan dan ianya juga boleh dibekalkan melalui pembajaan. Terdapat beberapa jenis baja yang boleh digunakan seperti baja NPK granul, baja organik, dan baja larut air. Artikel ini ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai baja larut air dan baja AB.
Baja larut air ialah sejenis baja yang dilarutkan ke dalam air pada kadar tertentu dan air ini kemudiannya disiram kepada tanaman untuk membaja serta mengairkan tanaman. Baja larut air ini boleh didapati di dalam bentuk pepejal dan juga cecair. Baja AB pula adalah sejenis baja larut air yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu komponen A dan komponen B. Kedua-dua komponen ini hanya boleh dicampur pada kadar kepekatan yang rendah sahaja dan akan menghasilkan mendakan jika dilarutkan pada kadar kepekatan yang tinggi. Walaupun lebih ramai yang mengetahui tentang baja AB tetapi terdapat juga baja larut air yang tidak terbahagi kepada dua bahagian. Namun, baja larut air seperti ini biasanya tidak mengandungi kalsium.
Kebanyakan campuran baja larut air yang terdapat di pasaran mempunyai pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tanaman tetapi kadar keperluan setiap nutrien-nutrien ini adalah berbeza mengikut fasa pertumbuhan serta jenis tanaman. Dengan kata lain, kandungan baja larut air serta kepekatan air baja perlulah bersesuaian dengan jenis dan umur tanaman.
Kebiasaannya penggunaan baja NPK granul sudah mencukupi bagi kebanyakan tanaman tetapi terdapat beberapa kelebihan menggunakan baja larut air serta terdapat beberapa aplikasi di mana hanya baja larut air sahaja yang sesuai digunakan seperti penanaman secara hidroponik dan apabila menggunakan media tanaman yang tidak mengandungi sebarang atau hanya sedikit nutrien untuk tanaman seperti sabut kelapa. Antara kelebihan-kelebihan menggunakan baja larut air adalah seperti berikut:
- Mudah diserap oleh tanaman maka pertumbuhan tanaman adalah lebih cepat
- Kebanyakan campuran baja larut air mengandungi pelbagai nutrien yang diperlukan oleh tanaman manakala baja NPK granul mungkin mengandungi hanya 3 nutrien utama sahaja.
- Boleh diaplikasi secara semburan atau foliar di mana penyerapan nutrien adalah lebih tinggi
- Pembajaan boleh dibuat secara konsisten melalui sistem fertigasi dan boleh mendapatkan pertumbuhan yang sekata
Kekurangannya pula adalah baja larut air lebih mudah ‘leaching’ atau baja mengalir keluar dari media tanaman apabila tanaman disiram atau semasa waktu hujan. Oleh sebab itu, aplikasi baja larut air adalah lebih kerap jika hanya bergantung dengan pembajaan daripada baja larut air. Jika anda menggunakan sistem fertigasi atau hidroponik, baja larut air adalah sesuai digunakan kerana tanaman sentiasa menerima nutrien yang mencukupi. Jika anda tidak dapat menyiram tanaman dengan air baja dengan kerap, gunakan baja NPK granul atau baja organik. Walaupun begitu, baja larut air dapat membantu apabila tanaman menunjukkan ‘nutrient deficiency’ iaitu ada nutrien yang tidak mencukupi pada tanaman. Ini adalah kerana nutrien yang dibekalkan oleh baja larut air boleh mudah diserap oleh tanaman maka tanaman cepat boleh dirawat.
Kami berharap artikel ini adalah bermanfaat dan boleh membantu anda dalam aktiviti berkebun anda. Jika anda berminat untuk menghasilkan formula baja larut air sendiri untuk digunakan di dalam sistem fertigasi atau hidroponik, anda boleh menggunakan aplikasi Kalkulator Baja Fertigasi yang kami hasilkan. Anda juga boleh mendapatkan barangan keperluan berkebun seperti baja larut air yang anda lihat di dalam artikel ini di kedai online kami dan terdapat pelbagai barangan lain juga yang kami tawarkan. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas sila gunakan ruang komen di bawah.