Betul Ke Bacaan Alat Pengukur Itu?
Kita menggunakan pelbagai alat pengukur dalam kehidupan harian kita; jam untuk menentukan waktu, penimbang untuk mengukur berat badan, pita ukur untuk mengukur jarak, dan macam-macam lagi. Jarang kita terfikir sama ada bacaan alat pengukur yang kita gunakan itu betul ataupun tidak, dan membuat andaian sahaja bahawa bacaan yang diberikan itu adalah betul. Namun, alat pengukur yang salah boleh mempunyai implikasi yang besar, bayangkan apa yang boleh terjadi jika alat-alat pengukur yang tidak tepat digunakan sewaktu membina rumah. Kesilapan mengukur juga mudah untuk terjadi, saintis NASA pun tidak terlepas daripada membuat kesilapan ukuran yang menyebabkan kemusnahan probe bernilai ratusan milion dolar.

Maka, sebarang alat pengukur perlulah dipastikan boleh memberi bacaan yang betul sebelum digunakan, terutamanya jika digunakan untuk tujuan komersial. Dalam penanaman komersial secara fertigasi atau hidroponik, terdapat satu alat yang kerap digunakan bagi menentukan kepekatan larutan nutrien iaitu EC meter. Amat penting sekali alat ini boleh memberikan bacaan yang betul, tepat, dan konsisten kerana ianya boleh menentukan sama ada tanaman menjadi ataupun tidak. Sebagai contoh, jika EC meter memberikan bacaan yang terlalu rendah berbanding nilai sebenar, ini boleh menyebabkan larutan nutrien yang terhasil terlalu pekat dan kemungkinan tanaman mati disebabkan terlebih baja.
Tambahan lagi, melalui ujian saya sendiri saya mendapati 6 daripada 10 produk EC meter di pasaran tidak sesuai digunakan kerana memberikan bacaan yang tidak betul, malah ada yang jauh lari daripada nilai sebenar. Ini memberikan sebab yang kuat untuk menguji ketepatan bacaan EC meter sebelum digunakan. Biasanya orang mengandai sudah cukup untuk kalibrasi EC meter sebelum digunakan tetapi seperti yang ditunjukkan dalam artikel di atas, kalibrasi tidak bermaksud bacaan akan sentiasa betul. Nilai bacaan di mana kalibrasi tersebut dibuat mungkin tepat tetapi nilai-nilai bacaan lain mungkin salah pula. Oleh itu, EC meter perlu diuji ketepatan bacaanya pada beberapa nilai bacaan yang berbeza. Artikel di bawah memberikan panduan untuk menguji ketepatan bacaan EC meter anda dengan lengkap.
Jika sesuatu alat pengukur boleh memberikan bacaan-bacaan yang tepat, ianya tidak semestinya boleh memberikan bacaan yang tepat untuk jangkamasa yang panjang. Sesetengah alat pengukur seperti EC meter perlukan kalibrasi berkala bagi memastikan bacaan tepat. Mendapan mineral dan karat pada probe EC meter juga boleh memberi kesan kepada ketepatan bacaanya. Kerosakan dan isu mekanikal juga boleh memberi kesan kepada ketepatan bacaan alat pengukur. Saya terfikir untuk menulis artikel ini apabila penimbang yang saya gunakan terjatuh dan ini menyebabkan bacaannya lari. Mujurlah saya dapat baikinya dan ia menunjukkan bacaan yang betul apabila menimbang ‘standard weights’.

Persoalan yang mungkin timbul adalah bagaimana hendak memastikan ketepatan bacaan sesuatu alat pengukur sebelum mendapatkan atau membelinya. Satu jawapan adalah dapatkan alat pengukur yang dihasilkan oleh syarikat berkredibiliti yang khusus membuat alat pengukur atau peralatan instrumen analitik. Bagi EC meter, buat masa ini saya galakkan produk keluaran Hanna Intruments iaitu sebuah pengeluar global produk instrumen analisis-elektro. Melalui pengalaman saya menggunakan satu produk EC meter keluaran syarikat ini iaitu DiST 4, saya mendapati bacaan masih tepat setelah guna 3 tahun dan ia juga mempunyai rekabentuk yang unik bagi memastikan bacaannya sentiasa tepat. Saya ada menulis artikel yang mendalam membandingkan EC meter Hanna DiST 4 dengan alternatif di pasaran iaitu Aquapro AP-2.
Walaupun EC meter Hanna DiST 4 ini pada pandangan saya EC meter pilihan utama untuk tujuan penanaman, ia juga sekurang-kurangnya 2 kali ganda lebih mahal daripada produk-produk EC meter lain di pasaran. Perlu difahami bahawa peralatan instrumen analitik memang mempunyai harga yang tinggi, EC meter DiST 4 ini antara peralatan yang termurah yang ditawarkan oleh Hanna Instruments dan banyak produk mereka berharga ribuan ringgit. Alternatif terbaik yang saya tahu dan lebih murah iaitu Aquapro AP-2 boleh memberikan bacaan yang cukup tepat tetapi saya mendapati isu kecil berkaitan konsistensi bacaannya, dan rekabentuknya juga tidak sebaik DiST 4 dalam memastikan ketepatan bacaan. Artikel di atas menerangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

Jika anda melihat artikel-artikel Kebuna sebelum ini, banyak kali juga saya menggalakkan produk EC meter keluaran Hanna Instruments. Saya perlu maklumkan di sini bahawa saya tidak menerima sebarang insentif dari Hanna Instruments untuk membuat kenyataan ini dan saya sendiri pun tidak menjual produk mereka. Saya terlalu kerap melihat penanam-penanam komersial menggunakan produk EC meter murah yang mungkin tidak boleh memberikan bacaan yang betul. Disebabkan betapa pentingnya fungsi EC meter dalam penanaman komersial hidroponik dan fertigasi, pelaburan perlulah dibuat dengan sewajarnya.

Walaupun artikel in fokus kepada EC meter tetapi garis panduan yang sama juga boleh digunakan untuk memilih dan menggunakan alat-alat pengukur yang lain. Garis panduan tersebut seperti di bawah dan disusun mengikut prioriti:
1) Dapatkan alat pengukur yang dihasilkan oleh syarikat berkredibiliti yang khusus membuat produk-produk alat pengukur. Harga mungkin mahal tetapi bak pepatah bahasa Inggeris “you get what you pay for”.
2) Uji bacaan alat pengukur bagi memastikan bacaannya betul dan tepat sebelum menggunakannya. Cara menguji bacaan alat pengukur adalah dengan mengambil bacaan sesuatu objek yang diyakini mempunyai nilai bacaan tertentu dan uji pada beberapa nilai bacaan yang berbeza dalam julat penggunaan. Contohnya, untuk uji penimbang gunakan ‘standard weights’ dan untuk uji EC meter pula gunakan larutan-larutan rujukan EC yang diterangkan cara membuatnya dalam salah satu artikel di atas.
3) Jaga alat pengukur dengan baik bagi memastikan bacaannya setepat yang boleh untuk jangkamasa yang panjang. Buat kalibrasi dan uji bacaan alat pengukur secara berkala untuk memastikan alat pengukur memberikan bacaan yang tepat.