Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Boleh Ke Mencapai Sasaran Tahap Sara Diri (SSL) Sebegitu Tinggi?

Boleh Ke Mencapai Sasaran Tahap Sara Diri (SSL) Sebegitu Tinggi?

Pada Oktober 2021 kerajaan Malaysia mengeluarkan dokumen Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang mengandungi rancangan kerajaan untuk sektor agromakanan negara ini. Anda boleh dapatkan dokumen tersebut di bawah.
https://parlimen.gov.my/resources/files/rsaindex/pdf/Dasar%20Agromakanan%20Negara%202021-2030%20(DAN%202.0)_compressed.pdf

Satu rancangan yang dibuat adalah meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) bagi setiap sektor makanan keperluan seperti beras, sayur-sayuran, daging, dan sebagainya. SSL menjelaskan peratusan perbandingan pengeluaran dengan penggunaan domestik. Sebagai contoh, 60% SSL bermaksud negara mampu untuk menghasilkan 60% daripada penggunaan domestik dan lagi 40% perlu diimport.

Nilai SSL yang tinggi bermaksud sekuriti makanan yang lebih tinggi dan kurang kebergantungan kepada import. Seperti yang boleh dilihat di bawah, kerajaan meletakkan sasaran SSL untuk tahun 2030 yang begitu tinggi dengan peningkatan dari tahun 2019 hampir dua kali ganda bagi sayur-sayuran dan lebih 2 kali ganda bagi daging lembu serta daging kambing.

Perbandingan SSL 2019 dengan sasaran SSL 2030.

Dengan peningkatan yang sebegitu tinggi, mudah untuk merasa skeptikal sasaran tersebut boleh tercapai. Untuk cuba menjangkakan sama ada sasaran tersebut boleh dicapai, kita boleh cuba melihat sama ada sasaran SSL yang dibuat dalam Dasar Agormakanan Negara 2011-2020 (DAN) pada 10 tahun lepas untuk tahun 2020 tercapai atau pun tidak. Anda boleh dapatkan dokumen tersebut di bawah.
https://www.fama.gov.my/documents/20143/154508/Dasar+agromakanan+negara.pdf/a5b222d8-0634-8abf-fd9c-c946a7d7b40b

Anda boleh melihat perbandingan sasaran SSL untuk tahun 2020 yang dibuat pada tahun 2011 dengan anggaran nilai SSL yang tercapai pada tahun 2020 untuk setiap sektor makanan keperluan dalam gambar yang diberikan di bawah. Seperti yang boleh dilihat, hanya buah-buahan yang melebihi sasaran SSL manakala sektor makanan lain pula lebih rendah nilai SSL yang tercapai dan nilai SSL untuk daging kambing hampir 3 kali ganda lebih rendah daripada nilai sasaran.

Perbandingan sasaran dan anggaran SSL untuk tahun 2020.

Disebabkan terdapat perselisihan nilai SSL yang besar bagi susu di antara kedua-dua dokumen tersebut, perbandingan dibuat menggunakan nilai pengeluaran. Di sini bezanya juga jauh lebih rendah anggaran pengeluaran susu yang tercapai pada tahun 2020 berbanding sasaran yang dibuat 10 tahun sebelumnya iaitu hampir 3 kali ganda lebih rendah.

Apabila membandingkan nilai SSL yang tercapai pada tahun 2010 dan 2020 seperti yang boleh dilihat di bawah hanya nilai untuk sayur-sayuran dan telur bertambah baik tetapi peningkatan sedikit sahaja. Nilai SSL bagi sektor makanan yang lain pula banyak mengalami penurunan sehingga 1.6 kali ganda lebih rendah. Maka, tahap sara diri makanan negara ini secara keseluruhannya lebih rendah pada tahun 2020 berbanding pada tahun 2010.

Perbandingan SSL 2010 dengan anggaran SSL 2020.

Sasaran SSL yang diletakkan untuk tahun 2020 secara keseluruhannya bukan sahaja tidak dicapai malah makin menurun pula berbanding pada tahun 2010. Jadi tidak hairan untuk merasa skeptikal dengan sasaran SSL untuk tahun 2030 boleh dicapai. Tambahan lagi, lebih sukar lagi untuk mencapai sasaran ini dengan keadaan pandemik yang masih tidak nampak penghujungnya dan konflik antara dua negara pengeksport penting input pertanian serta petroleum dengan kedua-dua situasi ini melonjakkan kos operasi sektor pertanian. Bilangan orang berkemahiran yang berkerja di dalam sektor pertanian juga telah menurun hampir 40% antara tahun 2012 dan 2020.

Penurun hampir 500 ribu orang.

Keadaan yang kelihatan suram bagi masa hadapan negara ini tidak berhenti di situ sahaja. Ukuran tahap sara diri (SSL) cuma mengambil kira pengeluaran hasil tempatan tetapi kita amat bergantung kepada import input pertanian. Sewaktu krisis makanan global 2008, negara-negara pengeksport beras menyekat eksport ke luar. Bayangkan jika keadaan lebih teruk terjadi yang menyebabkan negara ini tidak boleh mengimport makanan serta input pertanian, apakah persediaan negara ini? Apakah persediaan anda?

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE