Kandungan Sisa Racun Dalam Makanan Dari Malaysia Antara Tertinggi di Dunia
Setiap tahun satu agensi European Union (EU) iaitu European Food Safety Authority (EFSA) mengeluarkan laporan mengenai kandungan sisa racun perosak daripada makanan yang dihasilkan di Eropah dan juga yang diimport dari negara-negara lain termasuk negara Malaysia. Menurut laporan-laporan yang mereka keluarkan, peratusan sampel makanan dari Malaysia yang melebihi tahap maksimum sisa racun perosak yang dibenarkan di dalam makanan atau Maximum Residue Levels (MRL) yang ditetapkan oleh EFSA adalah antara yang tertinggi apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.
Tambahan lagi, negara Malaysia hampir setiap tahun di dalam kedudukan tiga teratas jika dibandingkan nilai ini dengan lebih kurang 80 negara lain menurut laporan untuk tahun 2011 hingga 2019 iaitu laporan yang terbaru ada sekarang. Laporan-laporan ini juga boleh menjadi petunjuk bahawa kadar penggunaan racun dalam penanaman di Malaysia adalah tinggi. Di bawah tersenarai kedudukan Malaysia antara negara-negara lain apabila dibandingkan peratusan sampel makanan yang melebihi MRL menurut laporan EFSA untuk tahun 2011 hingga 2019.
2011 – Ketiga
2012 – Pertama
2013 – Ketiga
2014 – Malaysia tidak termasuk di dalam laporan*
2015 – Malaysia tidak termasuk di dalam laporan*
2016 – Ketiga**
2017 – Pertama
2018 – Kedua**
2019 – Kedua
Jika dikira berapa kali negara Malaysia berada di dalam kedudukan tiga teratas berbanding negara-negara lain, negara Malaysia adalah yang tertinggi. Di bawah menunjukkan berapa kali setiap negara berada di dalam kedudukan tiga teratas dari tahun 2011 hingga 2019.
Malaysia – 7
Laos – 5
Cambodia – 4
Vietnam – 2
Uganda – 2
Suriname – 2
Kenya – 1
Benin – 1
Pakistan – 1
Sri Lanka – 1
Ghana – 1
* Menurut hubungan E-Mail antara kami dengan EFSA, Malaysia tidak termasuk di dalam laporan EFSA pada tahun 2014 dan 2015 kerana mereka tidak mendapat sampel yang mencukupi.
** Nama Malaysia tidak terdapat di dalam laporan EFSA untuk tahun 2016 dan 2018 tetapi ukuran MRL untuk kedua-dua tahun tersebut terdapat dalam laporan tahun selepasnya. Cara ini juga digunakan untuk menentukan kedudukan di atas.
Gambar-gambar di bawah menunjukkan ukuran MRL ini untuk semua negara yang dilaporkan termasuk Malaysia tetapi tidak termasuk negara-negara EU dan EFTA. Ukuran MRL untuk negara-negara tersebut terdapat di dalam muka surat yang berasingan dan mempunyai nilai purata yang beberapa kali ganda lebih rendah, negara yang paling tinggi pun masih lebih rendah daripada 5-10 negara tertinggi yang tersenarai di bawah.
Laporan EFSA setiap tahun dari tahun 2011 hingga 2019 boleh didapati melalui link-link di bawah.
2011 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/3694
2012 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/3942
2013 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4038
2014 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4611
2015 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4791
2016 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/5348
2017 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/5743
2018 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/6057
2019 – https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/6491
Kenapa perkara ini perlu merisaukan anda?
Racun perosak yang digunakan dalam penanaman kerap dikaitkan dengan penyakit kanser, dalam penulisan kami sebelum ini kami menunjukkan lebih 20% daripada racun berdaftar di Malaysia boleh menyebabkan kanser. Itu hanya racun yang berdaftar, kes penggunaan racun tidak berdaftar atau racun haram yang lebih merbahaya berbanding racun-racun yang berdaftar juga biasa berlaku di negara ini menurut berita-berita di bawah.
Selain daripada kanser, racun perosak juga boleh menyebabkan kesan negatif kepada sistem saraf, sistem pembiakan, sistem endokrin dan lain-lain yang boleh membawa kepada pelbagai isu kesihatan. Tambahan lagi, kehidupan lain serta alam sekitar juga terjejas dengan penggunaan racun. Maklumat lanjut berkaitan kesan racun perosak terdapat di dalam website di bawah.
Dengan kadar sisa racun yang tinggi di dalam makanan harian kita, lebih tinggi juga kemungkinan untuk mendapat penyakit yang disebabkan oleh racun ini. Tempat kami ini berhampiran dengan Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang dan setiap kali berlalu di sana, kedua-duanya sentiasa terdapat ramai orang. Mungkin sisa racun yang terdapat dalam makanan kita antara punca utama untuk pelbagai penyakit yang dihidapi oleh rakyat Malaysia.
Apa yang boleh dibuat?
Kami amat berharap pihak-pihak yang berkeupayaan memperbaiki situasi ini serta golongan penanam untuk melihat kepada alternatif-alternatif yang lebih selamat dalam mengawal perosak-perosak tanaman. Dengan kos input pertanian yang tinggi sekarang, kos juga boleh banyak dikurangkan dengan menggunakan kaedah kawalan perosak secara natural dan holistik. Kami sendiri tidak pernah menggunakan racun perosak merbahaya kepada tanaman-tanaman di nurseri kami selama 5 tahun kami beroperasi, perosak-perosak terkawal utamanya dengan memastikan kesihatan tanah dan tanaman terjaga serta dengan adanya pemangsa semulajadi yang hanya akan wujud tanpa menggunakan racun. Anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan kawalan perosak bebas racun di bawah.
Kami juga ingin menggalakkan lebih ramai orang terlibat dalam bidang pertanian untuk membawa perubahan kepada kaedah penanaman yang lebih baik serta meningkatkan lagi pengeluaran makanan negara ini. Negara Malaysia bukan sahaja mempunyai isu penggunaan racun perosak yang tinggi dalam penanaman, malah negara ini tidak menghasilkan makanan yang mencukupi untuk menampung keperluan penduduk dan perlu bergantung kepada import makanan. Krisis makanan global yang terjadi pada tahun 2008 menunjukkan betapa pentingnya sesebuah negara perlu berupaya menghasilkan sendiri makanan yang diperlukan dan adalah tidak mustahil krisis yang sama akan terjadi di masa hadapan.
Tambahan lagi, input pertanian secara konvensional juga banyak yang diimport maka kebergantungan ini juga perlu dikurangkan. Penanaman secara organik bukan sahaja boleh menghasilkan makanan yang lebih sihat dan selamat malah boleh mengurangkan kebergantungan kepada import input pertanian kerana cara penanaman ini tidak menggunakan bahan kimia sintetik dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang wujud secara semulajadi. Kesan negatif disebabkan bergantung berat kepada import boleh dilihat sekarang dengan harga sayuran naik melambung dan sebab utama adalah kenaikan global harga input pertanian.
Untuk menanam adalah tidak sukar, anda boleh bermula dengan tanaman sayuran hijau secara hidroponik yang tidak memerlukan ruang yang banyak, amat mudah, dan boleh medapatkan hasil dengan cepat. Komuniti di kawasan perumahan boleh berkerjasama untuk menghasilkan kebun sayuran komuniti bebas racun yang juga dapat meningkatkan hubungan dalam komuniti. Satu contoh usaha penanaman bebas racun dan organik yang berjaya dan berkembang dengan usaha keluarga serta komuniti ialah FOLO Farms di Johor. Kami amat menggalakkan anda melihat video mereka di bawah.
Kami di Kebuna juga akan memberikan usaha dalam apa yang kami mampu untuk membawa kebaikan ke dalam arena pertanian Malaysia. Apa yang kami rasa boleh banyak membantu adalah jika semua ilmu-ilmu pertanian mudah untuk diakses oleh sesiapa sahaja tanpa ada halangan. Usaha kami ke arah ini adalah dengan menyediakan maklumat asas penanaman di blog kami dan menyediakan platform Kebuna Share yang boleh dicapai melalui link di bawah untuk berkongsi penulisan dalam pelbagai bidang pertanian. Kami berharap untuk membuat pelbagai lagi perkara yang bermanfaat untuk semua di masa hadapan.