Laporan EFSA Menunjukkan Penggunaan Racun Kimia Yang Tinggi di Malaysia
Setiap tahun European Food Safety Authority (EFSA) mengeluarkan laporan mengenai kandungan sisa racun kimia daripada makanan yang dihasilkan di Eropah dan juga yang diimport dari negara-negara lain termasuk negara Malaysia. Menurut laporan-laporan yang mereka keluarkan, peratusan sampel makanan dari Malaysia yang melebihi tahap maksimum sisa racun di dalam makanan yang ditetapkan oleh EFSA, atau Maximum Residue Levels (MRL) adalah antara yang tertinggi apabila dibandingkan dengan negara-negara lain.
Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh EFSA untuk tahun 2012, peratusan sampel makanan dari Malaysia yang melebihi MRL adalah yang tertinggi di antara 78 negara dan juga jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan negara lain seperti yang boleh dilihat di dalam gambar di atas. Pada tahun 2011 dan 2013 pula Malaysia adalah nombor 3 tertinggi menurut laporan EFSA apabila perkara yang sama dibandingkan. Ini adalah antara perkara yang menunjukkan penggunaan racun kimia yang tinggi di Malaysia dalam penghasilan makanan.
Perbandingan tidak dapat dibuat untuk tahun selepas 2013 kerana Malaysia tidak lagi termasuk di dalam laporan EFSA yang terbaru iaitu untuk tahun 2014 dan 2015. Satu persoalan timbul iaitu kenapa Malaysia tidak lagi termasuk di dalam laporan mereka? Kami akan cuba menghubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan tentang perkara ini dan sebarang jawapan yang kami terima akan kami kongsikan di blog kami.
EDIT: Pihak EFSA telah memberi jawapan. Sebab Malaysia tidak termasuk di dalam laporan EFSA pada tahun 2014 dan 2015 adalah kerana mereka tidak mendapat sampel yang mencukupi untuk ujian mereka.
EDIT2: Nama Malaysia juga tidak disebut di dalam laporan EFSA untuk tahun 2016 yang baru sahaja dikeluarkan pada Julai tahun 2018.
Sumber
https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/3694
https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/3942
https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4038
https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4611
https://www.efsa.europa.eu/en/efsajournal/pub/4791