Maklumat Penggunaan Injektor Baja dan Cara Pemasangan Injektor Venturi untuk Sistem Fertigasi
Penanaman menggunakan sistem fertigasi di Malaysia biasanya menggunakan tangki untuk menyimpan larutan nutrien. Konfigurasi ini mudah tetapi bancuhan larutan nutrien perlu dibuat setiap kali paras larutan rendah di mana kekerapan bergantung pada saiz tangki dan keperluan air dan baja tanaman.
Masa dan ruang boleh dijimatkan dengan menggunakan injektor baja di mana stok baja ‘disuntikkan’ terus ke dalam paip yang membawa air kepada tanaman. Maka tidak perlu lagi membancuh baja secara manual dan juga jimat ruang kerana tidak perlu ada tong untuk menyimpan larutan nutrien.
Injektor baja tidak semudah menggunakan tangki tetapi tidaklah terlalu kompleks. Terdapat dua konfigurasi yang biasa digunakan, satu menggunakan injektor venturi dan satu lagi menggunakan ‘positive displacement injector’ seperti Dosatron. Perbezaan utama antara keduanya adalah ‘positive displacement injector’ adalah lebih tepat tetapi lebih mahal berbanding injektor venturi.
Walaubagaimanapun, injektor venturi boleh memberikan kadar larutan yang tepat dengan menggunakan valve serta flow meter untuk mengawal kadar sedutan dan memastikan pengaliran air adalah konsisten. Kosnya yang rendah juga lebih menarik bagi sesiapa yang baru sahaja hendak mencuba injektor baja dan ia juga tidak memerlukan banyak penyelenggaraan.
Satu kesukaran menggunakan injektor venturi adalah terdapat beberapa cara pemasangannya dan pemasangan yang sesuai adalah bergantung pada konfigurasi sistem fertigasi. Apa yang sama antara semuanya adalah perlu terdapat perbezaan tekanan yang mencukupi antara outlet dan inlet injektor venturi untuk menarik stok baja di mana tekanan outlet adalah lebih rendah pada masa yang sama perlu mencukupi untuk pengairan tanaman.
Satu perkara yang perlu diambil kira apabila menggunakan injektor venturi adalah tinggi paras stok baja juga mempengaruhi kadar sedutan. Isu ini boleh dielakkan dengan menyambung tangki stok baja ke bekas lebih kecil dan paras stok baja di dalam bekas tersebut dikawal dengan menggunakan valve pelampung. Maka paras stok baja tidak berubah apabila injektor venturi menarik stok baja dari bekas tersebut.
Maklumat lanjut berkaitan injektor baja dan cara pemasangan injektor venturi boleh didapati di dalam penulisan-penulisan di bawah yang disediakan di Kebuna Share. Penulisan yang pertama memberikan maklumat asas berkaitan injektor baja dan penulisan yang kedua memberikan diagram untuk cara-cara pemasangan injektor venturi. Diagram tersebut menunjukkan pemasangan untuk satu stok baja, untuk membuat konfigurasi dua stok baja cuma perlu memasang lagi satu injektor venturi secara selari.
https://www.kebuna.com/share-files/public/Irigasi-Fertigasi-Irrigation-Fertigation/Fertilizer-Injectors-Selection-Maintenance-and-Calibration-University-of-Georgia-2017.pdf
https://www.kebuna.com/share-files/public/Irigasi-Fertigasi-Irrigation-Fertigation/Venturi-Injectors-Principle-Operation-and-Installation-Netafim-2.pdf
Di bawah ialah penulisan yang sama dengan yang di atas tetapi diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Google. Terjemahan ini boleh mengandungi kesilapan contohnya terjemahan bagi perkataan yang mempunyai lebih daripada satu makna mungkin tidak betul. Maka, sila rujuk penulisan asal dalam Bahasa Inggeris apabila membaca terjemahan di bawah.
https://www.kebuna.com/share-files/public/Irigasi-Fertigasi-Irrigation-Fertigation/Terjemahan-Google/Fertilizer-Injectors-Selection-Maintenance-and-Calibration-University-of-Georgia-2017-Terjemahan-Google.pdf
https://www.kebuna.com/share-files/public/Irigasi-Fertigasi-Irrigation-Fertigation/Terjemahan-Google/Venturi-Injectors-Principle-Operation-and-Installation-Netafim-2-Terjemahan-Google.pdf
Anda boleh mendapatkan lagi pelbagai penulisan dalam pelbagai bidang pertanian termasuklah irigasi dan fertigasi dengan jumlah melebihi 3500 mukasurat di bawah.
Jika anda tidak menjumpai maklumat yang anda perlukan di Kebuna Share, terdapat begitu banyak lagi maklumat yang juga disediakan secara percuma dalam internet. Satu tip untuk mendapatkan maklumat yang berkualiti melalui Google adalah dengan mencarinya di dalam Bahasa Inggeris dan menambah terma ‘pdf’, contohnya ‘fertigation basics pdf’. Jika anda menjumpai penulisan yang membantu anda, kami harap anda boleh kongsikan di Kebuna Share melalui halaman di bawah.