Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Minggu-1 Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani

Minggu-1 Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani

Pengenalan jurnal ini terdapat dalam link di bawah.
kebuna.com/blog/pengenalan-jurnal-kebun-fertigasi-komersial-di-kawasan-bandar-urban-tani

Hari-1 (28/02/2022)

Catatan jurnal ini bermula dengan hari pertama pembukaan tapak kebun fertigasi 500 polibeg di Bangi. Jadi anda akan dapat melihat secara teliti bagaimana kebun fertigasi didirikan dari tanah yang kosong. Tapak kebun adalah tanah kawasan perumahan dengan keluasan 70×80 kaki. Joe Jason iaitu staf Urban Tani yang akan menguruskan dan juga membuat kerja-kerja menaikkan kebun ini menerangkan dengan lebih lanjut dalam video di atas. Serba sedikit latar belakang Joe, selain daripada pengalaman pengurusan tanaman fertigasi dia sudah membuat pemasangan fertigasi di lebih kurang 30 tempat di seluruh Malaysia dan pemasangan fertigasi yang paling besar pernah dia buat adalah untuk 12000 polibeg.

Joe Jason dari Urban Tani.

Pada awal pagi sebelum sebarang kerja dibuat, lori menghantarkan cocopeat tiba membawa 200 guni cocopeat dari Sabak Bernam, Selangor. Lori saiz 3 tan tersebut boleh membawa sehingga 500 guni cocopeat dan kos servis lori dikira mengikut jarak perjalanan sahaja. Jadi untuk menjimatkan kos penghantaran, Kebuna dan Urban Tani berkongsi lori di mana 300 guni telah diturunkan di Kebuna sebelum ke kebun ini. Cocopeat ini akan digunakan sebagai media penanaman dengan satu guni boleh mengisi lebih kurang 5 polibeg. Maka, hanya lebih kurang 100 guni diperlukan untuk kebun ini tetapi Urban Tani juga mendapatkan stok cocopeat untuk jualan dan untuk digunakan di kebun lain.

200 beg cocopeat tiba di kebun.

Kerja bermula dengan tibanya pelajar-pelajar praktikal membawa barangan yang diperlukan. Pelajar-pelajar ini baru sahaja bermula dengan program latihan industri, maka mereka belum ada pengalaman membuka kebun fertigasi. Joe pula kerap perlu kerja di tempat lain hampir setiap hari yang menyebabkan dia tidak boleh datang untuk menguruskan dan membuat kerja. Jadi untuk minggu ini, saya di kebun ini cuba mengisi kekosongan dan membantu menguruskan kerja apabila Joe tiada. Pelajar-pelajar tersebut juga tidak konsisten boleh ada di kebun kerana ada tugasan lain maka perkembangan kebun ini seperti anda boleh lihat di bawah tidak secepat yang dirancang iaitu siap dalam satu minggu.

Joe menerangkan tugas kepada pelajar-pelajar praktikal.

Joe menerangkan kerja-kerja yang perlu dibuat antaranya membina pump house iaitu bangsal untuk meletakkan tangki, pam, dan barangan keperluan kebun lain, membuat kerja-kerja pembersihan, memasang weedmat, dan menyiapkan pagar. Tugas pembersihan tidak banyak yang perlu dibuat dan siap selepas tengahari, hanya membakar rumput kering dan dan dahan-dahan dari pokok yang ditebang. Rumput dan dahan kering amat mudah untuk mula terbakar jadi perlu pastikan pembakaran tidak mudah merebak terutamanya jika cuaca panas.

Membakar rumput dan dahan kering.

Dalam penanaman fertigasi, kebiasannya weedmat digunakan untuk menutup tanah. Weedmat adalah sejenis fabrik dari plastik yang digunakan dengan menutup tanah untuk mengelakkan rumput tumbuh. Tanah sebaiknya rata sebelum meletakkanya untuk memastikan selamat berjalan di atasnya dan juga kebun kelihatan kemas. Sebelum meletakkan weedmat sebaiknya juga rumput dipotong sependek yang boleh untuk mengelakkannya mencucuk weedmat dan menyebabkan ia terkoyak. Walaupun begitu, kerja ini tidak dapat dibuat di sini disebabkan mesin pemotong rumput rosak.

Mesin pemotong rumput rosak.

Hari-2 (01/03/2022)

Untuk beberapa hari ini saya datang ke kebun lebih kurang pukul 8 pagi dan pulang lebih kurang pukul 2 petang jadi saya tidak melihat kerja-kerja yang dibuat pada waktu petang tetapi video di atas menunjukkan semua perkembangan dari hari pertama. Dalam video itu saya beritahu tiang hitam itu digunakan untuk membuat pintu pagar tapi sebenarnya untuk tutup pagar sahaja di situ. Pada petang hari pertama juga telah dibuat tanda untuk menaikkan pump house seluas 15×15 kaki. Kerja-kerja pembersihan juga hampir siap cuma tanah perlu diratakan sedikit sebelum meletakkan weedmat.

Dalam video di atas, Joe menerangkan proses menaikkan tiang besi untuk pump house. Dalam video itu saya ada tanya kegunaan besi yang memegang tali tersebut, saya tahu fungsi meletakkan tali tersebut untuk memastikan tiang sejajar tetapi waktu itu saya tak nampak kenapa besi di mana tali itu diikat itu perlu mendatar. Kemudiannya baru saya terfikir kenapa buat mendatar seperti dalam gambar di bawah, supaya mudah untuk melaraskan posisi tali untuk memastikan tali yang berserenjang mempunyai sudut 90 darjah antara satu sama lain.

Kedudukan tali mudah dilaras untuk memastikan sudut antara tali 90 darjah.

Secara ringkasnya untuk menaikkan tiang pump house ini, pertama sekali perlu menandakan kawasan pump house menggunakan tali seperti dalam gambar di atas. Lubang dibuat di mana tiang akan dinaikkan dan campuran konkrit digunakan untuk menyambungkan tiang kepada tanah. Untuk memastikan tiang tersebut betul-betul tegak ke atas, timbang air digunakan dan tiang tersebut diikatkan kepada dua besi sokongan yang berserenjang antara satu sama lain bagi memastikan kedudukannya tidak berubah sebelum konkrit dimasukkan ke dalam lubang. Video di bawah menunjukkan jelas prosedur ini.

Antara peralatan-peralatan yang diperlukan untuk membuat pump house ialah cangkul pengorek lubang, gergaji besi atau side grinder untuk memotong besi, dan cordless drill untuk menyambungkan skru. Skru yang digunakan untuk menyambung kepingan atau batang besi mempunyai mata yang boleh menebuk lubang besi jadi tidak perlu membuat lubang terlebih dahulu kemudian sambungkan skru. Walaubagaimanapun, pastikan gunakan skru besi kepala hex kerana ia akan dipegang dengan lebih baik oleh mata drill, sukar untuk menggunakan skru besi dengan kepala philips. Batang besi yang digunakan untuk membuat tiang pump house mempunyai saiz 2×2 inci dan panjang datang dari kilang biasanya 20 kaki.

Skru besi kepala hex.

Hari-3 (02/03/2022)

Tidak banyak perkara baru berlaku pada hari ketiga, Joe tiada pada hari ini maka tidak boleh menyambung kerja buat pump house kerana dia seorang sahaja yang tahu bina pump house sepenuhnya buat masa ini. Pada hari ketiga pelajar praktikal siap naikkan 3 tiang besi menjadikan jumlah tiang pump house 6 tiang, 2 tiang untuk pagar, dan membuat sedikit kerja meratakan tanah. Satu perkara yang saya belum sebutkan adalah besi-besi yang digunakan diambil dari tapak kebun sebelum ini yang telah ditutup. Jadi terdapat juga kerja-kerja di luar kebun ini iaitu membongkar dan mengambil barangan seperti batang besi dan atap yang boleh digunakan untuk membuat pump house dari kebun lama dan kemudiannya diangkut ke kebun sekarang.

Kerja memotong besi.

Selain daripada kerja-kerja pembangunan kebun terdapat juga kertas-kertas kerja yang terlibat dalam pengurusan kebun secara komersial. Ini adalah salah satu tugas yang Encik Fahmie berikan kepada saya kerana beliau sibuk menguruskan cawangan Urban Tani. Salah satu perkara yang wajib dibuat dalam pengurusan komersial adalah pengiraan kos dan saya diberikan tugas untuk mengira semua kos-kos yang terlibat dalam pengurusan dan membuat anggaran untung rugi untuk kebun ini. Ini adalah kali pertama saya membuat pengiraan seperti ini tetapi terdapat panduan di https://myagri.com.my/2020/05/fertigasikos/. Saya gunakannya sebagai template dan Encik Fahmie serta Joe membantu saya dengan memberikan nilai-nilai kos dan hasil yang terlibat.

Hari-4 (03/03/2022)

Joe tidak dapat hadir kerana perlu menguruskan jualan tetapi kerja yang dibuat pada hari ini adalah kerja yang saya sendiri biasa buat iaitu memasang weedmat jadi saya boleh menunjukkan cara memasangnya kepada pelajar-pelajar praktikal. Seperti ada diterangkan di atas, weedmat digunakan untuk menutup tanah bagi mengelakkan rumput tumbuh. Disebabkan ianya dianyam, ada kemungkinan rumput tumbuh di antara anyaman maka untuk mengelakkan sepenuhnya rumput tumbuh, silvershine digunakan sebagai lapisan pertama menutup tanah dan weedmat sebagai lapisan kedua. Silvershine adalah filamen plastik yang digunakan untuk menutup batas bagi menghalang rumput tumbuh juga tetapi tidak tahan lasak seperti weedmat.

Dua lapis silvershine dan weedmat menghalang rumput tumbuh dengan lebih baik.

Memasang weedmat adalah tidak sukar, hanya lemparkan atas tanah dan gunakan paku weedmat setiap 3-4 kaki untuk menetapkannya di atas tanah. Walaupun begitu, terdapat beberapa perkara yang perlu dibuat untuk mendapatkan hasil terbaik. Selain pembersihan, tanah perlulah rata sekurangnya sedikit rata kerana sukar melihat kontur tanah apabila tanah telah ditutup weedmat dan ianya juga lebih kemas. Disebabkan weedmat boleh mengecut setelah dipasang, jangan tegangkan sewaktu pemasangan dan pastikan weedmat melapisi antara satu sama lain lebih kurang setengah kaki supaya tanah tidak terdedah apabila weedmat mengecut. Jika anda ingin membuat pemasangan weedmat berserta silvershine seperti di kebun ini, pemasangan lebih mudah jika kedua-duanya mempunyai saiz lebar yang sama.

Weedmat dipasang melebihi paras pagar supaya rumput tak naik di dalam kebun.

Hari-5 (04/03/2022)

Tiada kerja dibuat pada waktu pagi disebabkan pihak Urban Tani mempunyai kerja pemasangan sistem fertigasi di tempat lain dan kerja di kebun sambung pada waktu petang. Joe ada pada waktu ini maka boleh menyambungkan kerja menaikkan pump house. Kerja yang dibuat adalah memasang palang kepada tiang dengan sambungan dibuat antaranya dengan menggunakan braket sambungan. Sebelum palang tersebut boleh disambung, tiang mestilah dipotong kepada tinggi yang sesuai. Bumbung pump house mempunyai cerun menurun dari depan ke belakang, benang digunakan untuk menandakan cerun tersebut. Bagi memastikan ketinggian tiang tertentu adalah sama pula, tiub fleksibel berisi air digunakan dan cara ini diterangkan dalam video di bawah.

Hari-6 (05/03/2022)

Kerja yang dibuat pada hari ini adalah seperti yang Joe terangkan dalam video di atas. Cara besi yang berserenjang dengan palang itu dipasang adalah dangan menggunakan braket L. Besi biru yang digunakan untuk membuat rangka atap ini dipanggil besi batten dan memang biasa digunakan untuk membuat rangka atap kerana ringan dan kuat. Terdapat dua bentuk besi batten yang biasa digunakan untuk membuat rangka atap iaitu C-channel dan A-channel. C-channel seperti yang dilihat dalam video di atas adalah rangka sokongan utama manakala A-channel pula digunakan untuk memegang atap. Besi-besi ini juga biasa digunakan untuk membuat pelbagai struktur, pelbagai idea yang anda boleh dapatkan dalam Facebook Page di https://www.facebook.com/groups/800259817414924.

Hari-7 (06/03/2022)

Tiada kerja dibuat pada hari ini kerana pelajar-pelajar praktikal cuti dan Joe pula ada tugasan di tempat lain.

Renungan

Seperti yang anda boleh lihat di atas, setiap aspek kebun ini sedang dan akan diusahakan oleh pihak Urban Tani sepenuhnya tanpa perlu bergantung kepada pihak ketiga contohnya untuk membina pump house. Tambahan lagi, setahu saya semua struktur yang terdapat di cawangan Urban Tani pun dihasilkan sendiri termasuklah warehouse, kabin, greenhouse, dan tandas pun. Dengan membuat semua sendiri banyak kos yang boleh dijimatkan dan setiap perkara yang melibatkan sebarang kos perlu diambil berat dalam aktiviti komersial. Oleh sebab itu, penting untuk mengira semua kos yang terlibat dan membuat anggaran untung rugi bagi memastikan usaha berdaya maju secara komersial.

Satu saranan saya untuk sesiapa yang ingin bermula membuka kebun komersial atau memulakan sebarang aktiviti komersial adalah ianya bukan untuk semua orang. Satu statistik yang saya kerap dengar adalah 90% perniagaan baru akan gagal dalam masa 3 tahun. Pada pandangan saya antara sebab peratusan ini begitu tinggi adalah sebab ramai yang terlalu optimistik apabila memulakan perniagaan dan tidak mempunyai ilmu yang mencukupi berkaitan perniagaan. Tambahan lagi, tidak semua orang mempunyai keperibadian yang diperlukan untuk menjadi usahawan. Encik Fahmie iaitu pemilik Urban Tani adalah contoh seorang yang mempunyai keperibadian seorang usahawan, antaranya adalah tidak kira susah macam mana pun beliau akan mencari jalan untuk memastikan perniagaan beliau terus berjalan. Encik Fahmie banyak berkongsi cabaran yang beliau lalui dalam dunia perniagaan di Facebook Page beliau https://www.facebook.com/fahmie.bakar.

Perkara yang saya sebutkan di atas ini saya ‘learn it the hard way’ dan hanya disebabkan perkara-perkara yang di luar kawalan saya yang menyebabkan perniagaan saya sendiri masih berjalan selepas 5 tahun. Jika sesiapa bertanya kepada saya patut ke dia memulakan perniagaan biasanya saya akan jawab tidak. Statistik pun menunjukkan 9 daripada 10 orang akan gagal dalam perniagaan. Ini bukan nak mengurangkan semangat sesiapa yang ingin memulakan kebun komersial tetapi untuk memastikan anda faham cabaran yang anda akan hadapi. Saya menulis jurnal ini pun dengan harapan lebih ramai orang terlibat dalam pertanian secara komersial bagi mengurangkan kebergantungan negara ini kepada import untuk makanan tetapi pada masa yang sama saya juga hendak ianya berdaya maju.

Satu perkara yang saya rasa boleh banyak membantu bagi sesiapa yang berminat bermula membuat penanaman secara komersial dan tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan adalah pendedahan kepada arena pertanian komersial seperti melalui program latihan praktikal. Pendekatan latihan secara praktikal juga adalah penting kerana aktiviti-aktiviti pertanian melibatkan pengurusan benda-benda hidup seperti tanaman dan ternakan. Latihan seperti ini juga akan membantu untuk melihat sama ada bidang ini sesuai dengan kehendak serta keperibadian diri. Ini adalah satu perkara yang saya mungkin akan cadangkan kepada Urban Tani iaitu membuat program latihan praktikal di kebun-kebun yang mereka akan buka seperti apa yang saya sedang buat sekarang.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE