Pengenalan Jurnal Kebun Fertigasi Komersial Di Kawasan Bandar @ Urban Tani
Untuk mencari ilmu dan pengalaman dalam arena penanaman komersial, saya berkerjasama dengan Encik Fahmie Abu Bakar iaitu pemilik Urban Tani dengan membantu beliau menguruskan projek kebun fertigasi komersial yang beliau sedang dirikan sekarang. Beliau yang juga merupakan guru bagi saya mempunyai lebih daripada 10 tahun pengalaman dalam perniagaan dan penanaman secara komersial. Niat saya juga untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang saya dapatkan dengan harapan ianya akan membawa manfaat kepada orang lain. Maklumat lanjut berkaitan usaha ini boleh lihat dalam link di bawah.
Antara projek yang sedang diusahakan oleh Encik Fahmie adalah membuka kebun-kebun fertigasi di tanah-tanah kosong di kawasan Kajang dan Bangi. Disebabkan lokasi ini adalah di kawasan bandar, keluasan lot-lot tanah yang boleh didapati adalah agak kecil untuk kegunaan penanaman komersial, maka perlu membuka beberapa kebun untuk menjadikan usaha ini berdaya maju secara komersial. Antara cabaran menjalankan projek seperti ini adalah perlu menguruskan kebun-kebun di tempat berbeza, perlu berkerjasama dengan tuan-tuan tanah berbeza, tempoh boleh menggunakan tanah mungkin singkat, dan kos lebih tinggi.
Walaupun begitu, terdapat kelebihan membuka kebun komersial di kawasan bandar antaranya ialah hasil mudah untuk dijual terus kepada pengguna yang harganya lebih tinggi berbanding harga borong. Encik Fahmie juga sudah berpengalaman membuat julan hasil terus kepada pengguna daripada kebun-kebun yang sedang serta yang pernah beliau usahakan dan sekarang beliau juga mempunyai beberapa cawangan kedai buah-buahan yang juga boleh menjadi saluran untuk penjualan hasil kebun. Penanaman di kawasan bandar juga adalah menarik kepada saya kerana saya sedang mencari model untuk penanaman komersial yang sesuai di kawasan bandar.
Dalam blog Kebuna ini saya bercadang untuk merekodkan setiap aktiviti yang dibuat bermulanya dari pembukaan tapak kebun fertigasi sehinggalah penjualan hasil. Saya juga akan memberikan penerangan lanjut bagi setiap aktiviti yang dibuat di mana perlu. Perbincangan berkaitan aspek-aspek komersial juga penting dan akan juga dimasukkan. Saya merancang rekod ini boleh menjadi panduan untuk membuka dan mengusahakan kebun fertigasi dan berharap ianya akan bermanfaat terutamanya kepada sesiapa yang ingin memulakan atau belajar mengusahakan kebun fertigasi.
Cara rekod dan penerangan yang akan dibuat kebanyakannya di dalam bentuk penulisan di dalam blog ini. Video akan dibuat di mana bentuk tersebut akan lebih mudah untuk difahami. Saya akan membuat penulisan setiap minggu yang akan mengandungi rekod dan penerangan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan pada minggu tersebut. Saya juga akan menghasilkan panduan spesifik kepada sesuatu perkara seperti cara membina rumah pam atau cara memasang weedmat. Di mana relevan, saya juga akan kongsikan pandangan atau pendirian saya tentang sesuatu perkara.
Satu pendirian saya berkaitan penanaman adalah racun perosak sintetik tidak patut digunakan dalam penanaman. Ini kerana telah terdapat banyak kajian yang menunjukkan hubungan antara pelbagai penyakit dengan penggunaan racun perosak tanaman. Tambahan lagi, kandungan sisa racun perosak dalam makanan dari Malaysia adalah antara tertinggi di dunia menurut data dari satu agensi European Union (EU). Cara penanaman yang akan digunakan di dalam projek ini akan menggunakan racun sintetik tetapi Encik Fahmie akan melihat juga kepada cara penanaman bebas racun sintetik dan saya juga akan mengambil peluang ini untuk cuba menghasilkan prosedur kawalan perosak yang selamat serta mesra alam untuk penanaman secara fertigasi.
Banyak lagi yang akan dibincangkan dalam penulisan-penulisan yang akan datang. Sebagai penutup bahagian pengenalan ini, saya berharap diberikan keupayaan untuk membuat apa yang saya sebutkan di atas dan juga berharap sebarang perkara yang terhasil dari usaha ini membawa manfaat kepada orang ramai. Negara Malaysia bukan sahaja mempunyai isu penggunaan racun perosak dalam penanaman yang tinggi malah makanan yang dihasilkan juga tidak cukup menampung keperluan penduduk dan bergantung berat pada import. Ini adalah isu yang besar dan perlukan usaha kolektif untuk memperbaikinya, maka saya harap anda juga ingin berusaha membawa perubahan dalam arena pertanian Malaysia ke arah yang lebih baik.
Catatan minggu pertama jurnal boleh dapatkan di https://www.kebuna.com/blog/minggu-1-jurnal-kebun-fertigasi-komersial-di-kawasan-bandar-urban-tani