Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Perbandingan Antara EC Meter Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2

Perbandingan Antara EC Meter Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2

Kami kerap membuat penulisan berkaitan EC meter kerana ia mempunyai fungsi yang penting dalam penanaman. EC meter digunakan dalam penanaman secara utamanya untuk mengukur kepekatan bancuhan larutan baja dalam penanaman secara fertigasi dan hidroponik. Walaupun ianya hanya satu alat yang kecil tetapi ia boleh menentukan sama ada tanaman menjadi ataupun tidak. EC meter yang memberikan bacaan yang salah boleh menyebabkan kerugian yang besar bagi penanam komersial dan mengikut pengalaman kami sendiri menguji pelbagai produk EC meter, banyak juga yang tidak sesuai untuk digunakan kerana memberi bacaan yang salah.

Sehingga kini, kami sentiasa menggalakkan penanam komersial terutamanya untuk menggunakan EC meter jenama Hanna model DiST 4 disebabkan keupayaannya memberikan bacaan yang tepat dan konsisten. Kami sendiri mengujinya menggunakan larutan rujukan EC yang boleh dibuat sendiri dengan mengikuti panduan di bawah. Unit yang kami uji ini telah kami gunakan selama 3 tahun dan sehingga kini masih memberikan bacaan yang tepat dan konsisten, ini jelas menggambarkan kualiti yang tinggi. Reka bentuknya juga mempunyai sekurangnya dua kelebihan ketara berbanding kebanyakan EC meter lain di pasaran.

Namun, harganya yang agak tinggi menjadi penghalang untuk kebanyakan orang. Terdapat banyak pilihan EC meter di pasaran yang harga jauh lebih murah tetapi seperti disebut di atas, banyak yang tidak sesuai untuk digunakan. Sebagai pengguna, tidak ada cara untuk mengetahui sama ada bacaan EC meter betul atau tidak dan EC meter yang telah dikalibrasi pun tidak semestinya akan memberikan bacaan yang betul dalam julat nilai EC yang digunakan dalam penanaman. Disebabkan perkara ini kami menghasilkan panduan di atas supaya anda boleh memastikan EC meter yang anda gunakan boleh memberikan bacaan yang betul.

EC meter putih ini beri satu bacaan yang betul tapi bacaan lain salah pula.

Persoalan yang timbul sekarang, bagaimana hendak tahu sama ada EC meter boleh memberikan bacaan yang betul atau tidak sebelum mendapatkannya? Penjual produk kebiasannya tidak memberikan maklumat ini dan jika diberi pun ia tidak memberikan gambaran yang penuh berkaitan keupayaan EC meter tersebut. Kami di Kebuna telah menguji pelbagai EC meter di pasaran dan hanya beberapa produk yang kami yakin untuk menggalakkan penggunaannya. Produk EC meter terbaik yang pernah kami uji sehingga kini ialah Hanna DiST 4, ia memberikan bacaan yang amat hampir serta konsisten dengan keempat-empat nilai larutan ujian berpandukan artikel di atas dan mempunyai kelebihan dari segi reka bentuk berbanding produk EC meter yang lain.

Ujian kami menunjukkan EC meter Hanna DiST 4 memberikan bacaan yang tepat dan konsisten.

Sekarang terdapat satu produk EC meter yang kerap kami nampak di laman media sosial, kedai online dan sebagainya iaitu EC meter jenama AquaPro model AP-2 yang harga lebih kurang tiga kali ganda lebih murah berbanding EC meter Hanna DiST 4. Syarikat yang membuat produk EC meter ini iaitu HM Digital menurut website serta laman media sosial mereka ialah pengeluar produk peralatan ukuran digital. Ini memberikan kredibiliti terhadap produk mereka, dalam banyak-banyak EC meter murah yang kami uji tidak ada yang memberitahu maklumat pengeluar. Walaubagaimanapun, seperti EC meter yang lain tidak terdapat maklumat berkaitan ketepatan EC meter tersebut selain daripada spesifikasi yang diberikan pengeluar.

Website HM Digital, Inc. di http://hmdigital.com/

Di dalam artikel ini kami akan menguji EC meter AquaPro AP-2 dan membandingkan dengan EC meter Hanna DiST 4. Di bawah anda boleh melihat sama ada kedua-dua EC meter ini memberikan bacaan yang sama tepat ataupun salah satu lagi tepat. Kami juga akan membandingkan fungsi dan reka bentuk kedua-duanya. Walaupun fungsi utama EC meter sama sahaja iaitu untuk mengambil bacaan EC cecair tetapi kedua-dua EC meter ini mempunyai beberapa fungsi serta reka bentuk yang berbeza. Artikel ini juga akan menghuraikan kelebihan serta kekurangan kedua-dua EC meter ini dan bagaimana ia memberikan kesan kepada penggunaannya.

Nota Penting

Kedua-dua EC meter ini menggunakan unit ukuran yang berbeza, Hanna DiST 4 menggunakan mS/cm manakala AquaPro AP-2 uS/cm. Di bawah kami akan menggunakan kedua-dua unit ukuran ini dan hubungan antara kedua-dua unit ini adalah 1mS/cm = 1000uS/cm. Daripada maklumat yang terdapat di dalam website Hanna Instruments dan maklumat dari pencarian Google, nampaknya terdapat dua model berbeza Hanna DiST 4. Model yang kami gunakan dan tunjukkan di sini ialah model yang terbaru pada waktu artikel ini ditulis, satu model lagi mempunyai rupa yang sedikit berbeza berbanding yang ditunjukkan di sini.

Model Hanna DiST 4 yang ditunjukkan dalam artikel ini adalah yang di sebelah kiri

Ketepatan Bacaan

Sebelum EC meter boleh digunakan, ia mestilah dahulu dikalibrasi. Untuk mendapatkan keputusan yang tebaik dalam menguji ketepatan bacaan EC meter, ianya perlulah dikalibrasi dengan setepat yang boleh. Bagi memenuhi kriteria ini, kami menggunakan larutan conductivity standard di pasaran jenama Hanna dengan nilai 12880uS/cm untuk EC meter Hanna DiST dan 1413uS/cm untuk AquaPro AP-2. Kami juga mengambil langkah membasuh bekas larutan serta probe EC meter dengan larutan tersebut sebelum membuat kalibrasi untuk mendapatkan kalibrasi yang terbaik.

Kalibrasi EC meter Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2

Larutan conductivity standard juga boleh didapati dalam bungkusan sachet yang lebih murah berbanding yang dijual di dalam botol. Namun, mengikut pengalaman kami ianya hanya sesuai digunakan dengan EC meter Hanna DiST4 kerana EC meter lain akan memberikan kalibrasi yang kurang tepat. EC meter lain selain Hanna DiST4 termasuklah AquaPro AP-2 akan memberikan bacaan atau kalibrasi yang kurang tepat jika probe hampir dengan permukaan bekas larutan sama ada permukaan cawan ataupun sachet. Kelebihan Hanna DiST 4 di sini mungkin disebabkan reka bentuk probe yang unik berbanding EC meter lain.

EC meter yang mempunyai probe seperti AquaPro AP-2 akan memberikan bacaan dan kalibrasi yang kurang tepat jika probe berhampiran permukaan larutan.

Sebelum ujian yang akan diterangkan di bawah dibuat, kedua-dua EC meter ini telah dikalibrasi 2 hari sebelum ianya diuji. Sewaktu membuat ujian, kami mendapati bacaan EC meter AquaPro AP-2 ketara berbeza dengan larutan EC 4.00mS/cm kerana ia memberikan bacaan 3.92mS/cm manakala Hanna DiST 4 memberikan bacaan 3.98mS/cm. Perbezaan ini tidaklah besar untuk tujuan penanaman tetapi kami ingin mendapatkan keputusan sebaik yang boleh dalam ujian ini. Kami mendapati bacaannya dengan conductivity standard 1413uS/cm telah menjadi 1405uS/cm, maka kami membuat kalibrasi lagi sekali dan mengulangi kembali proses ujian. Selepas 5 hari kedua-dua EC meter ini diuji, kami ada mengambil lagi sekali bacaan kedua-dua EC meter dengan larutan EC 4.00mS/cm dan mendapati bacaan Aquapro AP-2 telah ketara menurun. Perkara ini akan dibincangkan di bawah.

Nilai bacaan 1413uS/cm berubah sedikit selepas 2 hari tetapi ia memberi kesan ketara kepada bacaan nilai EC yang lain

Seperti yang dinyatakan di awal artikel ini, kalibrasi yang tepat tidak bermaksud EC meter akan memberikan bacaan yang betul untuk setiap bacaan dalam julat yang akan digunakan. Hanya satu bacaan sahaja yang boleh betul-betul yakin adalah tepat iaitu nilai EC di mana kalibrasi tersebut dibuat contohnya 12880uS/cm atau 1413uS/cm. Untuk menjadi lebih yakin bahawa setiap bacaan yang diberikan oleh EC meter adalah betul dan tepat, bacaannya mestilah diuji terlebih dahulu dengan beberapa nilai EC yang berbeza dalam julat yang akan digunakan. Kami telah menyediakan panduan di bawah untuk membantu anda menguji ketepatan bacaan EC meter.

DIY Larutan Rujukan EC V2

Panduan di atas menunjukkan kadar campuran antara garam tulen atau larutan garam terhasil dengan air suling atau R.O. untuk mendapatkan larutan dengan nilai EC yang tertentu. Artikel ini hanya akan fokus pada bahagian ‘Larutan Ujian’ dan maklumat lanjut berkaitan panduan ini anda boleh dapatkan dalam artikel di bawah. Di bawah bahagian ‘Larutan Ujian’ menunjukkan kadar campuran antara Larutan L2 dengan air untuk mendapatkan 4 larutan dengan nilai EC ~1.04, ~2.06, ~3.05, dan 4.00 mS/cm. Nilai-nilai ini dipilih kerana ia melitupi julat nilai EC yang digunakan dalam membuat larutan baja iaitu antara 0.5 dan 5 mS/cm. Oleh itu, jika EC meter yang diuji dengan nilai-nilai ini memberikan bacaan yang tepat maka lebih yakin EC meter tersebut akan memberikan bacaan yang tepat juga untuk nilai-nilai yang lain dalam julat tersebut.

Melihat dalam panduan di atas, nampaknya seperti tidak sukar untuk membuat larutan-larutan tersebut kerana hanya memerlukan air dan garam serta hanya dua ukuran diperlukan untuk membuat satu larutan tertentu. Walaupun begitu, ketepatan yang tinggi diperlukan kerana perbezaan yang sedikit pun boleh mengubah nilai EC larutan yang terhasil dan ini agak sukar untuk dielakkan. Sebagai contoh, bekas yang digunakan untuk mengukur air dan garam akan terdapat sisa bahan tersebut apabila mengalihkan bahan tersebut ke dalam bekas larutan yang akan memberi kesan kepada nilai EC larutan.

Walaupun sedikit sisa air yang tertinggal di dalam cawan mempunyai berat lebih kurang 0.1g.

Cara kami mengurangkan kesan ini adalah dengan membasuh bekas ukuran dengan air suling supaya terdapat sisa air di dalamnya sebelum membuat timbangan dan melarutkan sisa garam yang dengan air yang telah diukur untuk memastikan garam atau larutan garam yang telah ditimbang sepenuhnya bercampur untuk menghasilkan larutan yang tepat. Selain daripada itu, kami juga menggunakan pemberat yang sensitif kepada 0.01g yang telah dikalibrasi serta diuji bacaanya bagi memastikan bacaannya adalah tepat. Terdapat lagi beberapa perkara yang perlu dibuat semasa membuat larutan-larutan ini bagi memastikan ia setepat yang boleh dan perkara ini diterangkan juga dalam artikel di atas.

Melarutkan sisa garam yang tertinggal di dalam cawan dengan air yang telah diukur.

Selain daripada perkara di atas, perlu juga dipastikan tidak terdapat sebarang bendasing atau larutan lain pada probe EC meter atau dalam bekas larutan apabila mengambil bacaan sesuatu larutan kerana ia boleh mengubah nilai EC larutan tersebut. Jika terdapat bendasing atau larutan lain pada probe atau dalam bekas larutan, ianya perlu dibasuh dengan larutan yang akan diukur bagi menyediakan ia dengan larutan tersebut. Ini adalah antara langkah-langkah yang kami ambil untuk pastikan keputusan yang kami dapat adalah setepat yang mungkin. Di bawah anda boleh melihat perbandingan bacaan antara Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2 menggunakan keempat-empat larutan ujian.

Sebelum menganalisa bacaan kedua-dua EC meter di atas perlu disebut bahawa nilai EC yang tertera tidak semestinya nilai EC sebenar larutan tersebut. Seperti disebut di atas, sukar untuk mendapatkan ukuran yang betul-betul tepat dan ralat alat ukuran juga memberikan kesan kepada nilai EC larutan yang terhasil. Bahan yang digunakan juga adalah gred konsumer serta pemberat yang digunakan bukanlah berkualiti tinggi walaupun ianya memberikan bacaan yang sensitif sehingga 0.01g. Selain nilai 4.00mS/cm, nilai-nilai EC lain pula diperolehi melalui interpolasi linear dua nilai terhampir antara EC 1.00, 2.00, 3.00, dan 4.00mS/cm. Dengan apparatus yang lebih bersesuaian dan bahan yang lebih tulen, keputusan ujian ini boleh menjadi lebih tepat.

Perbandingan bacaan EC meter Hanna DiST4 dan AquaPro AP-2.

Oleh disebabkan perkara di atas, andaian perlu dibuat bahawa nilai EC larutan yang terhasil adalah sama atau amat hampir dengan nilai tertera. Andaian ini juga sesuai dibuat apabila melihat bacaan Hanna DiST 4 yang sama atau amat hampir dengan nilai EC larutan, ini menunjukkan penghasilan larutan yang konsisten. Kadar ketepatan larutan terhasil pula boleh diperolehi dengan membuat larutan sama beberapa kali dan mengambil bacaan setiap satu tetapi buat masa ini kami akan cuba analisa data dengan keputusan yang ada. Dari data di atas, bacaan Hanna DiST 4 lebih hampir dengan nilai EC tertera tiga dari empat bacaan dan sama bacaan untuk satu bacaan dengan AquaPro AP-2. Perbezaan ketara boleh dilihat dengan bacaan AquaPro AP-2 pada nilai EC 4.00mS/cm, ia memberi beza bacaan sebanyak 0.07mS/cm.

Bacaan EC meter AquaPro AP-2 sebelum kalibrasi kedua (kiri) dan selepas (kanan).

Walaupun EC meter Hanna DiST 4 lebih tepat berbanding AquaPro AP-2 menurut data di atas, tetapi perbezaannya tidaklah cukup ketara untuk penggunaan dalam penanaman. Kedua-dua EC meter ini sesuai digunakan untuk tujuan penanaman tetapi jika ketepatan yang tinggi adalah keutamaan, kami akan memilih Hanna DiST4. Seperti yang dinyatakan di awal bahagian ini, kami mengkalibrasi dua kali EC meter AquaPro AP-2 kerana mendapati bacaan ketara berbeza setelah pertama kali kalibrasi tetapi selepas kalibrasi lagi sekali pun bacaan larutan 4.00mS/cm masih ketara berbeza. Seperti disebutkan di atas juga, 5 hari selepas ujian ini dibuat bacaan AquaPro AP-2 juga menjadi ketara berbeza berbanding bacaan sewaktu ujian.

Bacaan AquaPro AP-2 beza 0.07mS/cm sewaktu (kiri) dan 5 hari selepas (kanan) ujian ini dibuat.

Reka Bentuk

Walaupun untuk tujuan penanaman EC meter Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2 kedua-duanya cukup tepat, Hanna DiST 4 mempunyai kelebihan dari segi reka bentuk yang membantu ia mendapatkan bacaan yang konsisten. Bentuk probenya adalah unik berbanding EC meter yang lain, ianya berbentuk gerbang yang memudahkan sebarang gelembung udara yang terbentuk di kawasan elektrod tertolak keluar. Ini adalah penting kerana gelembung udara boleh mengganggu bacaan EC meter. Probe AquaPro AP-2 pula mudah untuk gelembung terbentuk dan terperangkap di mana kesannya cuba diminimakan dengan terdapat lapisan plastik pada elektrod. Jika terdapat gelembung udara hanya pada lapisan tersebut, ianya tidak akan memberi kesan kepada bacaannya.

Gelembung udara terperangkap di probe EC meter AquaPro AP-2

Satu lagi kelebihan unik Hanna DiST 4 ialah elektrodnya dibuat daripada grafit, ianya tahan oksidasi yang memastikan bacaan konsisten. Penggunaan grafit juga mengurangkan ‘polarization effect’ yang biasa terjadi dengan EC meter yang menggunakan elektrod besi tahan karat di mana cas yang terkumpul pada elektrod menyebabkan bacaan menjadi kurang tepat. Kesan ini boleh dilihat dengan AquaPro AP-2 di mana bacaannya ketara berbeza setelah beberapa hari. Seperti ada disebut di atas, bacaan AquaPro AP-2 lari sedikit apabile probenya berhampiran dengan bekas larutan tetapi kesan yang sama tidak dapat dilihat dengan Hanna DiST 4. Kelebihan lain Hanna DiST 4 adalah skrin yang lebih besar serta lebih tinggi kontras dan lebih separuh panjangnya boleh direndam di dalam larutan yang hendak diukur tanpa perlu risau larutan akan memasuki ke dalamnya.

Perbezaan reka bentuk boleh dilihat.

Fungsi

Melihat pada ketepatan bacaan dan reka bentuk, jelas EC meter Hanna DiST 4 mempunyai kelebihan dari aspek-aspek ini. Dari segi fungsi pula, Hanna DiST 4 hanya mempunyai fungsi-fungsi asas yang perlu ada pada EC meter tetapi mempunyai julat lebih besar 0-20mS/cm berbanding AquaPro AP-2 0-10mS/cm. Selain dari fungsi-fungsi asas, AquaPro AP-2 juga mempunyai fungsi untuk bekukan bacaan yang amat berguna jika sukar untuk melihat skrin apabila mengambil bacaan. Satu lagi fungsi yang praktikal ada pada AquaPro AP-2 juga ialah keupayaan untuk dikalibrasi pada mana-mana nilai dalam julat bacaan contohnya dengan larutan nilai EC 4.00mS/cm yang anda boleh hasilkan dengan ketepatan yang tinggi mengikut panduan yang kami berikan.

Fungsi AquaPro AP-2 bekukan bacaan yang praktikal.

EC meter AquaPro AP-2 juga memberikan bacaan yang lebih sensitif iaitu hingga 0.001mS/cm manakala Hanna DiST 4 hingga 0.01mS/cm. Walaupun begitu, sensitiviti yang tinggi tidak bermaksud bacaan lebih tepat seperti mana boleh dilihat dari perbandingan bacaan antara kedua-dua EC meter. Pada pandangan kami juga, tidak perlu mempunyai sensitiviti sebegitu tinggi dan sensitiviti serendah 0.1mS/cm pun mencukupi untuk tujuan penanaman. Satu lagi kekurangan Hanna DiST 4 yang boleh disebut di sini adalah mudah untuk termasuk mode kalibrasi dan terbuang kalibrasi yang ada dengan tidak sengaja. Isu ini tidak timbul dengan AquaPro AP-2 kerana perlu tekan butang beberapa saat untuk masuk mode kalibrasi yang sukar terjadi tanpa sengaja.

Satu cara elak tertekan butang kalibrasi tanpa sengaja tetapi masih boleh menekannya menggunakan hujung lidi contohnya.

Kesimpulan

Seperti yang telah diterangkan di atas, proses menghasilkan larutan-larutan untuk menguji EC meter boleh lagi diperbaiki dan kadar ketepatan boleh diperolehi dengan mengulangi membuat larutan-larutan tersebut beberapa kali. Namun, pada pandangan kami keputusan yang diperolehi adalah mencukupi untuk mengatakan bahawa kedua-dua EC meter memberikan bacaan yang cukup tepat untuk tujuan penanaman. Bagi memberikan keputusan mana satu yang lebih tepat, andaian perlu dibuat bahawa larutan-larutan yang dihasilkan mempunyai nilai EC yang tertera atau amat hampir dengan nilai EC tersebut. Melihat pada bacaan Hanna DiST 4 yang sama atau hampir sama dengan keempat-empat nilai EC yang diuji, kami rasa andaian ini boleh dibuat kerana ini menunjukkan proses penghasilan yang konsisten.

Apparatus lab boleh memberikan keputusan yang lebih tepat.

Maka, dengan andaian di atas kami boleh katakan bahawa EC meter Hanna DiST 4 lebih tepat berbanding AquaPro AP-2. Bacaan AquaPro AP-2 yang ketara berbeza dengan nilai EC 4.00mS/cm walaupun telah dikalibrasi dua kali juga menunjukkan bacaan yang kurang konsisten. Selain daripada, bacaannya juga ketara berbeza selepas 5 hari ujian ini dibuat. Disebabkan bacaan AquaPro AP-2 yang beza ketara hanya pada 4.00mS/cm, mungkin lagi tinggi nilai bacaan lebih lagi ketara beza antara bacaan dengan nilai sebenar dan ini satu perkara yang boleh dilihat di masa hadapan. Ini adalah satu perkara yang perlu dipertimbangkan kerana ada kegunaan untuk EC meter yang boleh mengambil bacaan melebihi 5mS/cm dalam penanaman contohnya menentukan nilai EC tanah yang pun boleh melebihi julat bacaan AquaPro AP-2.

Kandungan garam di dalam tanah boleh ditentukan juga menggunakan EC meter

Melihat pada reka bentuk pula, jelas EC meter Hanna DiST 4 mempunyai kelebihan ketara berbanding AquaPro AP-2. Reka bentuknya memastikan bacaan yang konsisten disebabkan penggunaan elektrod material daripada grafit yang kurang reaktif serta sukar untuk gelembung udara terperangkap pada probe yang boleh mengganggu pembacaan nilai EC. Untuk membandingkan kualiti pula, kami sebelum ini tidak pernah menggunakan AquaPro AP-2 dan hanya telah gunakannya tidak sampai dua minggu untuk membuat artikel ini. Maka, kami tidak boleh katakan mana satu yang jelas lebih berkualiti dan lebih tahan lama. Apa yang boleh kami katakan ialah Hanna DiST 4 adalah berkualiti tinggi dan tahan lama kerana unit yang kami uji ini telah kami gunakan selama 3 tahun dan keputusan ujian ini menunjukkan bacaannya masih tepat dan konsisten.

Fungsi EC meter Hanna DiST 4 adalah minimal apabila dibandingkan dengan AquaPro AP-2 tetapi apabila melihat pada aspek-aspek lain, secara keseluruhannya Hanna DiST 4 mempunyai kelebihan yang jelas berbanding AquaPro AP-2. Walaupun begitu, harga Hanna DiST 4 di pasaran adalah lebih kurang tiga kali ganda lebih tinggi berbanding AquaPro AP-2. Adakah kelebihan-kelebihan Hanna DiST 4 berbanding AquaPro AP-2 cukup memberikan sebab untuk berbelanja lebih banyak bagi mendapatkannya? Pada pendapat kami, jika anda hendak menggunakannya untuk jangka masa yang panjang terutamanya bagi tujuan penanaman komersial lebih baik berbelanja lebih untuk mendapatkan EC meter Hanna DiST 4 kerana mengikut pengalaman kami ianya tahan lama dan reka bentuknya juga ketara lebih baik dalam memastikan bacaan yang konsisten untuk jangka masa yang panjang.

Lebih murah membuat kalibrasi menggunakan sachet kalibrasi tetapi hanya sesuai dengan EC meter seperti Hanna DiST 4.

Kos untuk kalibrasi dengan tepat Hanna DiST 4 juga lebih murah kerana boleh gunakan sachet kalibrasi yang jauh lebih murah berbanding jika menggunakan AquaPro AP-2 kerana ia memerlukan kuantiti larutan kalibrasi yang lebih banyak. Produk Hanna DiST 4 juga memberi sekali 4 sachet larutan kalibrasi apabila membelinya manakala anda perlu dapatkan larutan kalibrasi secara berasingan jika membeli AquaPro AP-2. Bacaan AquaPro AP-2 juga boleh berbeza ketara hanya selepas beberapa hari selepas kalibrasi yang mungkin akan perlu lebih kerap kalibrasi untuk pastikan bacaan sentiasa cukup tepat. Untuk ketepatan yang tinggi, Hanna Instruments menggalakkan EC meter dikalibrasi setiap bulan dan setiap kali kalibrasi juga akan perlukan larutan yang baru. Oleh itu, jumlah kos termasuk larutan untuk kalibrasi adalah tidak banyak berbeza antara kedua-dua EC meter ini.

Larutan kalibrasi kuantiti lebih banyak adalah lebih mahal dan mungkin tidak tahan lama selepas dibuka disebabkan pemeruapan.

Penutup

Kami tidak menyangka artikel ini akan jadi sebegini panjang apabila memulakannya tetapi disebabkan EC meter ini bagi kami peralatan yang amat penting dalam penanaman, kami letakkan semua maklumat yang kami rasakan relevan ke dalam artikel ini. Selain daripada membandingkan EC meter Hanna DiST 4 dan AquaPro AP-2, artikel ini juga boleh digunakan sebagai panduan untuk anda sendiri menguji EC meter kerana ia mengandungi panduan am dan juga memberitahu beberapa perkara yang anda perlu tahu apabila menggunakan cara ini. Kami berharap artikel ini bermanfaat untuk anda dan kami berharap juga boleh lagi membuat penulisan yang juga padat dengan maklumat seperti artikel ini.

Perlu dimaklumkan bahawa kami tidak menerima sebarang insentif sama ada dari segi kewangan atau lain-lain dari syarikat Hanna Instruments atau HM Digital dalam penghasilan artikel ini. Semua peralatan dan bahan yang digunakan adalah sepenuhnya dari perbelanjaan kami sendiri dan artikel ini adalah sepenuhnya inisiatif kami sendiri tanpa ada sebarang sokongan dari mana-mana pihak. Semua pendapat kami yang dinyatakan dalam artikel ini kami cuba sepenuhnya memberikannya tanpa sebarang bias kepada mana-mana pihak. Sebab utama kami membuat artikel ini adalah dengan harapan ianya boleh membantu meningkatkan kualiti penanaman di Malaysia kerana kami melihat ramai, penanam-penanam komersial pun yang menggunakan EC meter berkualiti rendah yang tidak boleh memberikan bacaan yang betul. Kami harap artikel ini boleh membantu penanam-penanam komersial terutamanya dalam mendapatkan hasil penanaman yang terbaik.

Share this post


LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE