Pokok Tin: 3 Perkara Penting Anda Perlu Tahu
Video di atas dihasilkan oleh kami untuk sesiapa yang ingin menanam pokok tin. Ia mengandungi tiga perkara penting yang anda perlu tahu tentang pokok tin dan kami berharap ia dapat membantu anda. Jika anda mempunyai sebarang persoalan atau maklum balas, sila tinggalkan di ruang komen di bawah.
Transkrip:
Pokok tin adalah satu tanaman yang unik di malaysia dan peminatnya kian bertambah dari hari ke hari. Keunikan, kepelbagaian varieti dan masa yang agak singkat untuk mendapatkan hasil menjadikan ia tanaman yang amat menarik. Walaupun pokok tin boleh ditanam di Malaysia tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diketahui terlebih dahulu jika anda ingin menanam pokok tin. Di sini kami ingin berkongsi 3 perkara penting yang anda perlu tahu tentang pokok tin.
Nombor 1. Pokok tin mempunyai beratus jenis varieti. Ciri fizikal pokok tin berbeza, contohnya dari segi rasa, warna dan saiz buah, dan bentuk daun. Selain daripada itu, kadar pertumbuhan dan pembuahan serta kesesuaian dengan iklim Malaysia juga agak berbeza mengikut varieti. Ada juga varieti yang tidak akan berbuah di Malaysia kerana memerlukan pendebungaan oleh serangga yang tidak terdapat di negara ini. Oleh yang demikian, sedikit kajian perlu dilakukan untuk memastikan anda mendapat varieti yang sesuai dan memenuhi cita rasa anda.
Nombor 2. Buah tin terhasil di ruas-ruas yang terdapat pada dahan pokok tin. Apabila ruas tersebut sudah menghasilkan buah, ruas tersebut tidak akan lagi mengeluarkan buah. Disebabkan itu, pemangkasan perlu dilakukan untuk menggalakkan pengeluaran dahan baru. Walaupun dahan yang sudah tua boleh mengeluarkan tunas baru tetapi produktiviti pokok adalah lebih tinggi jika pemangkasan dilakukan. Tambahan lagi, dahan yang dipangkas juga boleh digunakan untuk menghasilkan anak pokok yang baru.
Nombor 3. Antara kesilapan yang kerap terjadi di kalangan penanam-penanam baru adalah tidak menggunakan media atau tanah campuran yang sesuai. Seperti tanaman-tanaman yang lain, air adalah antara keperluan utama pokok tin tetapi akar pokok tin mudah reput apabila terlebih air. Disebabkan demikian, media atau tanah campuran yang digunakan perlulah mempunyai saliran air yang baik.