Kedai Kebun dan Nurseri Putrajaya

Glosari Penanaman

Glosari Penanaman

Di halaman ini kami menyediakan glosari bagi istilah yang biasa digunakan dalam penanaman serta pertanian. Gunakan fungsi carian untuk mencari istilah yang tertera. Kami akan berusaha untuk menambakan lagi istilah dari masa ke semasa. Jika anda tidak menjumpai istilah yang anda cari atau mempunyai cadangan untuk istilah yang anda rasa perlu ada dalam glosari ini, anda boleh hantarkan cadangan anda dalam form di sidebar (jika anda menggunakan smartphone, tap panah di sebelah kiri bawah untuk akses sidebar).

Kami juga menyediakan glosari penanaman di dalam Bahasa Inggeris yang mengandungi lebih daripada 650 istilah yang anda boleh akses dengan klik bendera English di bahagian bawah skrin.

A
Abiotik
Tidak hidup atau tidak mempunyai hidupan.
Aerobik
Berkait dengan, melibatkan, atau memerlukan oksigen.
Afid
Serangga kecil yang memakan tumbuhan dengan menghisap sap dari tumbuhan. Afid boleh membiak dengan cepat dan bilangan yang banyak boleh menyebabkan kerosakan yang teruk pada tumbuhan.
Aktinomisit
Sekumpulan mikroorganisma tanah yang mempunyai peranan penting dalam kitaran bahan organik yang membawa pelbagai manfaat kepada tanah serta tumbuhan.
Alelopati
Keupayaan sesuatu tumbuhan untuk menghalang pertumbuhan tumbuhan yang lain dengan melepaskan bahan kimia ke persekitarannya.
Anaerobik
Berkait dengan atau memerlukan ketiadaan oksigen.
Annual
Tumbuhan yang mempunyai kitaran hidup satu tahun bermula dari percambahan biji benih sehingga ianya menghasilkan biji benih dan kemudian mati.
Antibiotik
Sejenis bahan yang menghalang pembiakan atau membunuh bakteria. Digunakan pada tumbuhan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh bakteria.
Antioksidan
Bahan yang melambatkan oksidasi.
Antraknos
Sekumpulan penyakit kulat yang terjadi kepada pelbagai tumbuhan di kawasan yang panas dan lembap. Salah satu simptom ialah bintik-bintik kuning pada tumbuhan yang berkembang menjadi warna perang.
B
Baja
Sebarang bahan sama ada semula jadi atau sintetik yang diberikan pada tanah atau tisu tumbuhan untuk membekalkan nutrien tumbuhan.
Baja AB
Sejenis baja larut air yang dalam keadaan pekat (stok baja) terbahagi kepada dua bahagian A dan B.
Baja larut air
Sejenis baja yang biasanya dilarutkan dengan air sebelum digunakan.
Bakteria
Organisma mikroskopik yang wujud di pelbagai tempat. Ada yang membawa manfaat dan ada yang membawa mudarat kepada hidupan termasuk tumbuhan.
Bareroot
Tanaman yang dicabut dari tanah dan dibuangkan tanah pada akar. Dibuat biasanya untuk tujuan penjualan tanaman.
Biennial
Tumbuhan yang mempunyai kitaran hidup dua tahun di mana bunga dan biji benih terhasil pada tahun kedua.
Biodiversiti
Kepelbagaian kehidupan yang terdapat di sesuatu tempat.
Biokimia
Berkait dengan proses dan bahan kimia yang wujud di dalam organisma hidup.
Biotik
Berkait dengan atau terhasil dari organisma hidup.
Bolting
Keadaan di mana tumbuhan menghasilkan bunga atau biji benih sebelum tempoh maturasi. Terjadi biasanya kerana terlalu panas dan terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari.
Bonsai
Seni penanaman menghasilkan tanaman miniatur untuk tujuan hiasan.
C
Cantuman
Teknik menyambungkan sebahagian daripada sesuatu tumbuhan kepada tumbuhan yang lain supaya kedua-duanya membesar bersama.
D
Dolomit
Sejenis mineral karbonat yang mempunyai kandungan tinggi kalsium magnesium karbonat. Kegunaan utama sama seperti batu kapur iaitu untuk meningkatkan pH tanah.
E
Ekar
Ukuran keluasan tanah, 1 ekar = 43560 kaki persegi = 4047 meter persegi. Sebagai gambaran, 1 ekar bersamaan lebih kurang 60% daripada keluasan padang bola sepak.
Ekosistem
Terdiri daripada semua hidupan dan persekitaran di mana mereka berinteraksi.
Emulsi
Campuran dua atau lebih jenis cecair yang biasanya tidak sebati contohnya minyak dan air.
Enzim
Bahan yang dihasilkan oleh organisma hidup yang berfungsi sebagai pemangkin untuk reaksi biokimia yang tertentu.
Etilena
Sejenis hormon yang dihasilkan oleh tanaman untuk menjadikan buah masak.
Etiology
Kajian sebab penyakit tanaman.
F
Fauna
Haiwan di kawasan atau habitat tertentu.
Feromon
Bahan kimia yang dihasilkan dan dilepaskan ke persekitaran oleh haiwan dan memberi kesan kepada kelakuan atau fisiologi haiwan spesis yang sama.
Fertigasi
Penggunaan sistem pengairan yang memberikan air dan nutrien pada tanaman.
Fisiologi
Kajian berkaitan fungsi dan mekanisma di dalam sistem hidupan.
Fitotoksik
Bahan kimia yang memberi sebarang kesan negatif terhadap pertumbuhan, fisiologi, atau metabolisma tumbuhan.
Flora
Tumbuh-tumbuhan di kawasan atau habitat tertentu.
Fotosintesis
Proses yang digunakan oleh tanaman atau organisma lain untuk menukarkan cahaya matahari kepada tenaga kimia. Proses ini menghasilkan oksigen dan karbohidrat daripada karbon dioksida dan air.
G
GMO
Genetically modified organism (GMO) adalah hidupan yang telah diubahsuai secara genetik menggunakan kejuruteraan genetik. Proses ini menghasilkan hidupan yang tidak wujud dalam alam semula jadi atau melalui pembiakan silang.
Gumosis
Pembentukan bahan bergetah pada permukaan tumbuhan tertentu kebiasaannya pokok buah. Ianya terjadi apabila sap tanaman mengalir keluar dari luka atau kanker.
H
Hawar
Penyakit tumbuhan yang disebabkan oleh serangga atau kulat.
Hektar
Ukuran keluasan tanah, 1 hektar = 2.47 ekar = 10000 meter persegi. Segi empat sama yang mempunyai panjang sisi 100 meter mempunyai keluasan 1 hektar.
Herbivor
Haiwan yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan.
Hiasan
Tanaman untuk tujuan estetik dan bukan untuk tujuan makanan.
Hibrid
Tanaman yang terhasil daripada pendebungaan silang antara dua spesis atau varieti yang berbeza.
Hidroponik
Sistem penanaman tanpa menggunakan tanah di mana tanaman mendapatkan air dan nutrien yang diperlukan daripada larutan nutrien yang dibekalkan.
Hormon
Molekul isyarat yang dihasilkan oleh tumbuhan dan wujud di dalam kuantiti yang amat sedikit. Ia mengawal semua aspek pembesaran dan perkembangan tumbuhan.
Humus
Bahan organik berwarna hitam di dalam tanah, terhasil dari bahan tanaman yang mereput.
I
Iklim mikro
Iklim di kawasan yang yang kecil atau terhad, terutamanya jika ia berbeza dengan iklim kawasan sekelilingnya.
Inokulasi
Proses menambahkan bakteria bermanfaat pada hos biji benih tanaman sebelum ditanam. Dibuat kepada tanaman kekacang untuk meningkatkan keupayaan mengikat nitrogen.
K
Kambium
Lapisan nipis yang terletak di bawah kulit kayu pokok.
Kapasiti pertukaran kation (KPK)
Jumlah bilangan kation yang boleh dipegang oleh tanah.
Karat
Penyakit yang disebabkan oleh kulat dengan simptom kelihatan seperti karat pada daun.
Karotena
Pigmen berwarna jingga atau merah yang terdapat dalam lobak merah dan banyak struktur tumbuhan yang lain.
Kation
Ion bercas positif.
Kawalan biologi
Kawalan perosak menggunakan pemangsa semula jadi.
Keratan
Cara semaian di mana sebahagian daripada tumbuhan seperti daun, dahan, akar atau pucuk dari satu tumbuhan digunakan untuk membuat tumbuhan yang baru.
Klon
Tanaman yang secara genetik sama seperti tanaman induk. Tanaman dari keratan dan tisu kultur adalah contoh klon.
Klorofil
Pigmen hijau di dalam daun yang berfungsi mengambil tenaga dari cahaya matahari melalui proses fotosintesis.
Klorosis
Keadaan di mana daun menjadi kuning disebabkan kekurangan klorofil, kekurangan nutrien atau disebabkan penyakit. Daun mungkin kelihatan kuning dengan urat daun berwarna hijau.
Kompos
Bahan organik seperti daun dan sisa dapur yang mereput dan terhasil bahan seperti tanah yang tinggi dengan bahan organik, baja yang baik, dan boleh membantu meningkatkan kualiti tanah.
Konvensional
Mengikut cara yang biasa dilakukan atau diamalkan.
Kulat
Organisma yang menghasilkan spora.
L
Larva
Serangga dalam peringkat selepas menetas dari telur dan sebelum ia bertukar kepada peringkat pupa atau dewasa.
Leaching
Situasi di mana bahan kimia atau nutrien yang terkandung di dalam tanah mengalir keluar disebabkan arus air.
Lignin
Polimer organik kompleks yang terdapat pada dinding sel kebanyakan tumbuhan, menjadikan strukturnya rigid.
Lux
Unit yang digunakan untuk mengukur keamatan cahaya.
M
MRL
Maximum residue limit (MRL) adalah tahap maksimum kandungan sisa racun perosak yang dibenarkan terdapat di dalam makanan.
Markot / Tut
Cara semaian tanaman baru dari dahan yang masih bersambung pada tanaman induk. Dahan dikelar dan ditekap dengan media tanaman untuk menggalakkan pertumbuhan akar.
Media
Bahan yang digunakan untuk menanam atau menyemai tanaman.
Mesofil
Organisma yang membesar sebaiknya pada suhu sederhana, dalam lingkungan 20 dan 45 darjah selsius.
Metabolisma
Proses kimia yang berlaku di dalam hidupan bertujuan untuk mengekalkan kehidupan.
Miselium
Bahagian vegetatif kulat yang terdiri daripada jalinan filamen putih yang halus.
Monokultur
Penanaman sejenis tanaman sahaja di sesuatu kawasan.
Mozek
Penyakit viral yang serius pada tumbuhan dengan simptom tompok hijau muda atau kuning pada daun.
N
NPK
Adalah singkatan bagi tiga nutrien utama yang amat penting bagi tanaman iaitu nitrogen (N), fosforus (P) dan potasium (K).
Nama botani
Nama saintifik formal untuk alga, kulat, dan tumbuhan.
Nekrosis
Kematian tisu tumbuhan yang disebabkan oleh kerosakan atau penyakit.
Nematod
Organisma halus berbentuk silinder seperti cacing tanah tetapi tidak mempunyai segmen. Hidup di dalam tanah serta air dan boleh membawa sama ada manfaat atau mudarat pada tumbuhan.
Node
Bahagian pada dahan tumbuhan di mana tunas, daun, dan dahan baru tumbuh.
Nutrien
Elemen yang tumbuhan perlukan untuk pertumbuhan serta pengeluaran hasil.
Nutrien mikro
Elemen mineral yang diperlukan oleh tumbuhan dalam kuantiti yang amat sedikit.
O
Organik
Baja, sungkupan, bahan kawalan perosak, atau sumber nutrien yang berasal dari bahan tanaman atau haiwan. Juga bermaksud penanaman tanpa menggunakan baja atau kawalan perosak sintetik.
P
Parasit
Hidupan yang hidup dalam atau pada organisma yang berlainan spesis (hos) dan mengambil nutrien daripadanya.
Patogen
Bakteria, virus, atau organisma lain yang boleh menyebabkan penyakit.
Pemangkasan
Aktiviti membuang dahan-dahan pada tanaman. Antara tujuannya adalah untuk menggalakkan pertumbuhan baru dan membuang bahagian berpenyakit atau rosak.
Pendebungaan terbuka
Pendebungaan yang terjadi secara semulajadi dan rawak.
Pengudaraan tanah
Keupayaan tanah mengalirkan udara. Tanah yang poros mempunyai pengudaraan yang lebih tinggi berbanding tanah yang mampat. Pengudaraan tanah yang baik adalah penting untuk tumbuhan.
Penjarangan
Pembuangan anak benih yang berlebihan bagi memberikan ruang yang mencukupi untuk tanaman yang tinggal membesar.
Perencat
Bahan yang melambatkan atau menghalang reaksi kimia atau proses lain atau mengurangkan aktiviti tindak balas, pemangkin, atau enzim tertentu.
Perennial
Tumbuhan yang boleh hidup lebih daripada dua tahun.
Perosak
Mana-mana organisma hidup yang mendatangkan kerosakan pada tumbuhan.
Pindah
Mengeluarkan pokok dari bekas atau tempat ia ditanam dan mengalihkannya ke dalam bekas yang lain atau ke atas tanah.
Plasmolisis
Pengecutan protoplasma sel tumbuhan disebabkan kehilangan air dari sel.
Polifenol
Kompaun organik yang mempunyai lebih daripada satu unit fenol. Ianya wujud dengan banyak dalam tumbuhan dan mempunyai pelbagai struktur yang berbeza.
Protozoa
Organisma satu sel seperti ameba, paramesium, dan euglena.
R
Racun perosak
Bahan kimia kebiasaannya sintetik, yang digunakan untuk mengawal perosak pada tanaman. Penggunaan racun perosak tertentu boleh membawa kesan negatif terhadap alam semula jadi termasuk manusia.
Resistan
Keupayaan tumbuhan mengurangkan kerosakan yang disebabkan oleh perosak atau patogen tertentu.
Respirasi
Proses organisma hidup menghasilkan tenaga, kebiasannya dengan mengambil oksigen dan melepaskan karbon dioksida dari oksidasi kompaun organik.
Ruas
Bahagian pada dahan tumbuhan antara dua node.
Rumpai
Sebarang tumbuhan yang tumbuh tetapi tidak diingini. Contohnya, rumput-rumput yang tumbuh di keliling tanaman yang dijaga.
S
Sanitasi
Aktiviti membersihkan sesuatu kawasan atau peralatan dengan membuang bahan buangan, kotoran, dan apa-apa yang boleh membawa penyakit pada tumbuhan.
Sel
Unit binaan paling kecil dalam organisma, kebiasannya mikroskopik dan terdiri daripada sitoplasma dan nukleus yang diliputi oleh membran.
Semaian
Tanaman yang baru sahaja bercambah dari biji benih.
Serangga bermanfaat
Serangga yang bermanfaat untuk tanaman kerana membantu mengawal populasi perosak tanaman.
Simptom
Petunjuk kewujudan sesuatu, selalunya perkara yang tidak diingini seperti penyakit.
Sistemik
Bahan kimia yang diserap oleh tumbuhan apabila diberikan pada akar, benih, atau daun. Bahan ini kemudiannya akan tersebar ke seluruh bahagian tumbuhan.
Spesis
Sekumpulan organisma di mana dua individu boleh bersenyawa dan menghasilkan zuriat yang subur.
Sucker
Pertumbuhan pada tanaman yang tidak dikehendaki yang tumbuh dari akar atau bahagian bawah batang utama tanaman. Biasanya dibuang supaya ianya tidak membazirkan tenaga tanaman.
Sungkupan
Bahan yang diletakkan di atas dan menutup tanah di keliling tanaman untuk beberapa sebab, antaranya mengurangkan pertumbuhan rumpai dan membantu pemegangan air.
T
Tanah beralkali
Tanah yang mempunyai nilai pH antara 7 dan 14 (dalam skala 0-14).
Tanah berasid
Tanah yang mempunyai nilai pH antara 0 dan 7 (dalam skala 0-14). Nilai pH tanah yang sesuai untuk kebanyakan tanaman adalah dalam lingkungan 5.5-6.5.
Tanah campuran
Media yang terhasil daripada campuran antara tanah dengan bahan-bahan lain seperti cocopeat dan sekam yang berfungsi meningkatkan kesesuaian tanah dengan tanaman.
Tanah gambut
Tanah yang mengandungi kandungan bahan organik yang tinggi melebihi 60%.
Tanaman selingan
Penanaman dua atau lebih jenis tanaman pada masa yang sama di satu kawasan ladang yang sama.
Taproot
Bahagian utama akar yang tebal dan tumbuh lurus ke bawah. Tidak semua tumbuhan mempunyai taproot.
Termofil
Organisma yang hidup di kawasan yang bersuhu tinggi antara 41 dan 122 darjah selsius.
Topsoil
Lapisan tanah teratas.
Transpirasi
Proses pengaliran air melalui tumbuhan dan pemeruapannya dari daun, batang, dan bunga.
Trellis
Struktur yang dibuat untuk memberi sokongan pada tanaman yang menjalar.
Tuber
Bahagian tumbuhan yang pendek, tebal, dan biasanya di bawah tanah yang berfungsi sebagai organ simpanan nutrien. Contoh ubi kentang dan keledek.
Tumbuhan akuatik
Tumbuhan yang tumbuh atau hidup di dalam atau di atas air.
Tunas
Pertumbuhan awal dahan, daun, atau bunga pada tumbuhan.
V
Vakuol
Ruang di dalam sitoplasma sel, diliputi membran dan biasanya mengandungi cecair.
Variegated
Tumbuhan yang warna daunnya mempunyai lebih daripada satu warna. Biasanya campuran antara warna hijau, kuning, putih, dan krim.
Varieti
Merujuk kepada variasi dalam sesuatu spesis tumbuhan yang terjadi secara semulajadi.
Vaskular
Tisu tumbuhan seperti xilem dan floem yang berfungsi mengangkut air dan nutrien di dalam tumbuhan.
Vektor
Organisma yang boleh menjadi pembawa patogen kepada tumbuhan.
Vermiculite
Mineral yang ringan dipanggil mica yang telah dipanaskan sehingga ianya mengembang dan digunakan sebagai media tanaman. Butiran seperti span ini mampu memegang air dan udara.
Vermikompos
Kompos yang dihasilkan melalui penguraian bahan organik menggunakan cacing.
Virus
Agen seni yang berjangkit dan hanya boleh replikakan diri di dalam sel hidup sesuatu organisma.
LIHAT PRODUK
BROWSE PRODUCTS
CARA ORDER
CARA ORDER
HOW-TO ORDER
Kursus Pengendali Makanan ONLINE